Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘2ND USM STRABISMUS SURGERY CARNIVAL’ BANTU 23 PESAKIT JALANI PEMBEDAHAN MATA JULING

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Ogos 2026 – Seramai 23 pesakit strabismus atau mata juling menjalani pembedahan menerusi penganjuran ‘2nd USM Strabismus Surgery Carnival’ 2026 oleh Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) yang berlangsung selama lima (5) hari bermula hari ini hingga 20 Ogos 2026.

Penganjuran karnival ini bukan sahaja menyediakan akses kepada rawatan pembedahan strabismus, malah membantu mengurangkan tempoh menunggu pesakit yang sebelum ini boleh mengambil masa berbulan-bulan dan dalam sesetengah kes sehingga bertahun-tahun.

Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata karnival ini bukan sekadar platform akademik atau pertemuan ilmiah, malah merupakan satu inisiatif yang benar-benar menyentuh kehidupan pesakit dan keluarga mereka.

“Strabismus atau lebih dikenali sebagai masalah mata juling bukanlah sekadar isu kosmetik. Keadaan ini memberi kesan kepada fungsi penglihatan, koordinasi mata serta perkembangan psikososial pesakit, khususnya kanak-kanak.

“Saya amat berbangga dengan penganjuran program ini kerana pada tahun lalu HPUSM juga telah berjaya membantu 25 orang pesakit yang mengalami masalah mata juling,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Wad 2 Utara, hari ini.

Menurut Ab Rahman Izaini, ramai pesakit berdepan cabaran keyakinan diri dan kesukaran menyesuaikan diri dalam kehidupan seharian.

“Justeru, pembedahan strabismus bukan sahaja memulihkan fungsi penglihatan, malah memberi harapan dan kualiti hidup yang lebih baik kepada mereka.

“HPUSM juga sentiasa menyokong penuh penganjuran karnival sebegini kerana ia selari dengan misi HPUSM sebagai pusat perubatan akademik yang berteraskan rawatan, pendidikan dan penyelidikan,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, penganjuran karnival ini juga bertujuan mengukuhkan peranan USM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang bukan sahaja menekankan pencapaian akademik, tetapi juga memberi impak sebenar kepada masyarakat.

“Ini membuktikan bahawa ilmu yang dipelajari tidak hanya terhenti di bilik kuliah atau makmal, sebaliknya dizahirkan dalam bentuk perkhidmatan dan khidmat bakti.

“Insya-Allah, dengan kejayaan yang dicapai melalui karnival ini, ia boleh menjadi platform untuk menganjurkan lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa akan datang bukan sahaja dalam bidang oftalmologi, tetapi juga dalam bidang kepakaran lain,” jelasnya lagi.

Ab Rahman Izaini turut berharap agar kejayaan penganjuran karnival ini menjadi titik tolak ke arah pencapaian lebih besar, seterusnya memperkukuhkan peranan USM sebagai peneraju pendidikan, penyelidikan dan rawatan kesihatan di Malaysia.

Pesakit yang dikenal pasti untuk menjalani pembedahan menerusi ‘2nd USM Strabismus Surgery Carnival’ 2026 sebelum ini telah menjalani saringan penglihatan oleh pasukan HPUSM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di sekolah-sekolah di seluruh negeri Kelantan.

Melalui saringan yang dijalankan, 200 pelajar sekolah rendah dan 100 pelajar sekolah menengah mengalami masalah mata juling dan perlu menjalani pembedahan secara berperingkat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail; Ketua Jabatan, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif HPUSM, Profesor Madya Dr. Mohd Zulfakar Mazlan dan Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Nohayati Mohamad.

Teks: Nik Ariff Mat Daud / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 222