Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘BUBBLE BASH RUN’ 2025 – GALAKKAN GAYA HIDUP SIHAT DAN ERATKAN SILATURAHIM ANTARA WARGA KAMPUS

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 November 2025 – Penyertaan dalam larian memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental peserta. Aktiviti ini bukan sahaja membantu meningkatkan stamina, daya tahan kardiovaskular dan kekuatan otot, malah turut berperanan dalam melepaskan tekanan dan meningkatkan 'mood' melalui penghasilan hormon endorfin.

1000199026

Larian berunsur santai dan menyeronokkan juga mendorong interaksi sosial, membina semangat kerjasama serta menanamkan budaya gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.

1000199028

Bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan pelajar serta komuniti setempat, Sekretariat Ikatan Mahasiswa/mahasiswi Johor (IKMAR) dengan kerjasama Ikatan Siswa Anak Johor (ISAJ) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Program 'Bubble Bash Run' 2025 di Kompleks Sukan 1, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

1000199024

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, beliau berasa bangga terhadap semangat kesukanan dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program berlangsung.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam larian ini, sama ada berlari untuk menang, beriadah ataupun sekadar menikmati pengalaman berlari sambil menjaga kesihatan.

1000199030

“Apa yang lebih penting daripada kemenangan ialah semangat kesukanan, kerjasama dan kekeluargaan yang kita tunjukkan sepanjang program berlangsung,” katanya ketika menutup program tersebut, hari ini.

Tambah Shaiful Bahari, saya difahamkan program ini berjaya menarik penyertaan kira-kira 400 peserta terdiri daripada pelajar, staf, alumni dan komuniti sekitar, sekali gus menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap aktiviti berasaskan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

1000199032

“Tahniah kepada semua yang terlibat. Tanpa dedikasi dan semangat daripada semua, program yang penuh warna-warni ini tidak mungkin dapat direalisasikan.

1000199046

“Penganjuran program ini amat bertepatan dengan usaha USM untuk memupuk kesedaran tentang pentingnya gaya hidup sihat, di samping menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti luar bilik kuliah,” katanya lagi.

1000199034

Menurut Shaiful Bahari, program ini juga menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim antara warga kampus dan komuniti setempat, sekali gus membina semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan sosial.

1000199042

“Inisiatif ini sejajar dengan Agenda Kampus Sejahtera serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 iaitu 'Good Health and Well-Being', yang menekankan kepentingan kesihatan mental dan fizikal dalam kehidupan seharian.

1000199036

“Saya yakin dengan semangat, komitmen dan sokongan padu semua pihak, 'Bubble Bash Run' akan terus menjadi tradisi sihat yang dinanti-nantikan saban tahun di USM,” ujarnya.

1000199044

Beliau berkata lagi, program 'Bubble Bash Run' bukan sahaja menonjolkan kreativiti dan semangat sukarelawan pelajar, malah mengukuhkan imej USM sebagai universiti yang menitikberatkan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kesejahteraan komuniti.

1000199038

"Semoga program seperti ini diteruskan dengan skala yang lebih besar dan pendekatan yang lebih kreatif pada masa akan datang, termasuk melalui kolaborasi rentas kampus dan acara berteraskan kebajikan", ujarnya.

1000199040

Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Siswazah, Kerjaya dan Antarabangsa), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM merangkap Penasihat IKMAR, Profesor Madya Dr. Rapeah Suppian dan Pengarah, Bank Simpanan Nasional (BSN) Negeri Kelantan, Noriza Hashim.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 342