‘EAST COAST FALL PREVENTION WORKSHOP 2025’ TEKAN KEPENTINGAN KERJASAMA INTERDISIPLIN CEGAH PESAKIT JATUH
KOTA BHARU, KELANTAN, 26 Mei 2025 - "Usaha pencegahan kejadian jatuh dalam kalangan pesakit perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan kolaboratif merangkumi semua lapisan profesion dalam sistem penjagaan kesihatan," demikian tegas Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani dalam ucapannya sempena Majlis Penutup 'East Coast Fall Prevention Workshop 2025'.
Menurut beliau, kejadian jatuh bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal seperti patah tulang dan trauma kepala, malah turut memberi kesan psikologi serta impak sosial jangka panjang kepada pesakit.
"Insiden seperti ini perlu menjadi penanda aras kepada tahap keselamatan dan kualiti penjagaan di fasiliti kesihatan.
“Pencegahan kejadian jatuh tidak boleh dilaksanakan secara solo dan ia memerlukan kerjasama erat antara jururawat, pegawai perubatan, ahli fisioterapi, pakar pemakanan serta pihak pengurusan hospital,” ujarnya.
Ab Rahman Izaini turut memuji usaha Jabatan Kejururawatan HPUSM yang menganjurkan bengkel tersebut dengan memberi fokus kepada aspek pencegahan jatuh dalam kalangan pesakit yang merupakan salah satu daripada Enam (6) Matlamat Keselamatan Antarabangsa (International Patient Safety Goals - IPSG), iaitu IPSG 6: Mengurangkan Risiko Kecederaan Akibat Jatuh.
“Bengkel ini juga memberi pemahaman berkaitan faktor-faktor risiko, penggunaan instrumen penilaian seperti Skala Morse dan Humpty Dumpty serta latihan intervensi secara interdisiplin.
“Kesemua komponen merupakan elemen penting dalam memastikan pematuhan dan keberkesanan pelaksanaan IPSG 6 di lapangan klinikal,” jelasnya lagi.
Beliau turut menzahirkan harapan agar segala ilmu dan perbincangan yang diperoleh sepanjang bengkel dapat diterjemahkan dalam amalan seharian, sekali gus memperkukuh pelaksanaan intervensi yang lebih sistematik dan berkesan dalam menangani isu jatuh dalam kalangan pesakit.
'East Coast Fall Prevention Workshop 2025' juga diadakan sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat HPUSM 2025 yang bertemakan ‘Our Nurses. Our Future. Caring for Nurses strengthens economies’.
Bengkel yang bermula semalam dan berakhir hari ini dihadiri oleh pelbagai anggota profesional kesihatan dari dalam dan luar Kelantan, bertujuan memperkasakan amalan keselamatan pesakit melalui pencegahan jatuh secara bersepadu.
Bengkel yang julung kali dibuka untuk penyertaan daripada luar HPUSM ini juga memberi peluang kepada lebih ramai profesional kesihatan untuk turut serta dan berkongsi pengalaman.
Hadir sama dalam majlis penutup bengkel ini ialah Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad.
Teks: Rosalwani Che Soh & Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansur (Pelajar Latihan Industri UiTM)/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 169