Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘TOWN HALL’ ZAKAT USM FOKUS TADBIR URUS PENGURUSAN ZAKAT DAN INFAQ

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pejabat Zakat, Wakaf dan Infaq (ZAWAIN) telah menganjurkan ‘Town Hall’ Zakat: Kelestarian Kebajikan dalam Ekosistem Pendidikan dan Kesihatan sebagai platform strategik bertujuan memperkasa tadbir urus pengurusan zakat serta meningkatkan keberkesanan agihan zakat dan infaq dalam menyokong kelestarian kebajikan bagi ekosistem pendidikan dan kesihatan di peringkat universiti.

Majlis perasmian ‘town hall’ tersebut telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Profesor Dr. Norhayati Luddin mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM.

Dalam ucapannya, Norhayati merakamkan penghargaan kepada Pejabat ZAWAIN USM atas inisiatif menganjurkan program bersifat strategik dan berfungsi sebagai medium komunikasi dua hala dalam memperkukuh kefahaman dan tadbir urus berhubung agihan zakat dan infaq.

“Penganjuran ‘town hall’ ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memastikan pengurusan kebajikan yang telus, adil dan berimpak tinggi, khususnya dalam menyokong keperluan pendidikan dan kesihatan warga kampus secara holistik dan mampan.

“Zakat dan infaq bukan sekadar bantuan bersifat sementara, malah merupakan instrumen pembangunan yang mampu menjadi pemangkin kepada mobiliti sosial dan kesejahteraan jangka panjang.

“Maka dengan usaha ini, ia dapat memastikan kelangsungan pengajian pelajar serta kesejahteraan pesakit dan warga kerja,” katanya.

Bagi pihak USM, Norhayati turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) atas sokongan berterusan terhadap kebajikan pelajar.

“Sumbangan YAPIEM Didik berjumlah RM10,000 telah disalurkan kepada 50 orang pelajar Kampus Kesihatan USM, melibatkan bantuan sebanyak RM200 bagi setiap penerima,” ujarnya lagi.

Norhayati turut berharap agar kerjasama strategik antara USM dan YAPIEM dapat terus diperkasa dan diperluaskan pada masa hadapan, bukan sahaja dari aspek sumbangan kewangan, malah meliputi pembangunan kapasiti, sokongan kebajikan berfasa serta program pemerkasaan pelajar yang lebih menyeluruh dan lestari.

‘Town hall’ ini juga turut diisi dengan sesi dialog dan forum yang disertai tiga (3) ahli panel iaitu Pengurus Negeri, YAPEIM Negeri Kelantan, Che Nor Azila Che Ghani; Ketua Unit Kerja Sosial Perubatan, Hospital Pakar USM (HPUSM), Shamsul Amri Sallehuddin; Pensyarah Universiti, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Dr. Mujahid Bakar dan Pegawai Dietetik Kanan, PPSK USM, Mohd Hakim Zakaria bertindak sebagai moderator.

Sesi dialog ini memberi ruang kepada perkongsian maklumat, perbincangan isu semasa serta cadangan penambahbaikan sistem agihan zakat bagi memperkukuh ekosistem kebajikan universiti selaras dengan hala tuju strategik USM dan dasar pendidikan tinggi negara.

Turut hadir dalam ‘town hall’ itu ialah Pengarah ZAWAIN, Profesor Madya Dr. Anwar Allah Pitchay; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad dan Pegawai Tadbir, Pejabat ZAWAIN Kampus Kesihatan USM, Asheef Barkhia Yahya.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 184