Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

12 bayi 'merdeka' lahir di HPUSM

Sisipan Akhbar: bharian.com.my (1 September 2025)

KOTA BHARU: Seramai 12 bayi termasuk lima bayi lelaki dilahirkan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) ketika negara menyambut Hari Kebangsaan ke-68, semalam.

Pengarah HPUSM, Profesor Datuk Dr Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata, bayi merdeka yang lahir pada 31 Ogos menjadi lambang kemerdekaan serta satu amanah untuk kita bentuk sebagai generasi berakhlak mulia, berilmu dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

bharian

Katanya, HPUSM mencatat purata kelahiran bulanan antara 350 hingga 600 dengan kadar keselamatan ibu dan bayi yang tinggi.

"Malah, HPUSM juga adalah pusat rujukan utama bagi kes kelahiran berisiko tinggi di Pantai Timur serta menerima pesakit dari seluruh Kelantan dan daerah Besut, Terengganu.

"Keselamatan ibu dan bayi sentiasa menjadi keutamaan HPUSM, selaras dengan piawaian antarabangsa serta seiring dengan pencapaian negara yang berjaya menurunkan kadar kematian ibu dalam beberapa dekad kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, seorang ibu kepada bayi 'merdeka', Najihah Mohamad Zain, 28, meluahkan rasa teruja dan syukur apabila melahirkan anak keduanya pada tarikh keramat sambutan Hari Kemerdekaan negara.

"Sepatutnya anak saya dijangka lahir pada 29 Ogos, namun kelahiran beralih dua hari kemudian, secara kebetulan jatuh pada 31 Ogos. Malah, saya masih sempat menyertai sambutan ambang Merdeka bersama keluarga pada malam itu.

"Tidak lama selepas itu, sekitar jam 3 pagi, saya mula merasai tanda-tanda untuk bersalin, dan akhirnya pada jam 1.42 petang, saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.4 kilogram secara normal," katanya.

Najihah berkata, kelahiran anaknya pada hari istimewa itu menjadi kenangan manis yang akan dikenang sepanjang hayat.

"Saya berasa sangat bertuah kerana anak ini dilahirkan pada tarikh bersejarah buat negara. Ia bukan saja membawa makna besar buat saya secara peribadi, malah akan menjadi kisah istimewa untuk diceritakan kepada anak saya apabila dia membesar nanti," katanya.

Seorang lagi ibu kepada bayi Merdeka, Siti Sarah Che Salleh, 24, menyifatkan kelahiran anak sulungnya pada tanggal 31 Ogos sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya.

"Alhamdulillah, saya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal. Terima kasih yang tidak terhingga kepada jururawat dan doktor di HPUSM yang memberikan layanan terbaik serta sentiasa membantu sepanjang proses kelahiran," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/09/1440966/12-bayi-merdeka-lahir-di-hpusm

  • Created on .
  • Hits: 115