Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

40 premis kesihatan di Kelantan berisiko dilanda banjir

Keratan Akhbar: hmetro.com.my

Tarikh: 21 Oktober 2023

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesan lebih 40 premis kesihatan di negeri ini berisiko dilanda banjir pada musim tengkujuh.

Hmetro

 

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, angka itu diperoleh berdasarkan banjir yang berlaku sebelum ini dan ia mungkin berubah bergantung kepada faktor tertentu.

"Kita ada lebih 40 (premis kesihatan) yang berisiko tapi kita tak boleh kekal dengan angka itu dan sebagai contoh tahun lepas kita tak jangkakan di Pasir Puteh berlaku banjir.

"Banyak faktor (banjir), salah satu pembangunan serta saliran dan jumlah itu hanya sebagai garis panduan kita saja.

"Saya sudah arahkan setiap pusat tanggungjawab di klinik dan pejabat kesihatan untuk memastikan bahawa kesiapsiagaan sudah dilaksanakan di kawasan yang tidak pernah berlaku banjir kerana menganggap mereka juga berpotensi berdepan banjir," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan persidangan 'Asia Pasific Cardiology Update 2023' (APCU) kali ke-14 di sebuah hotel hari ini.

Dr Zaini berkata, sebagai persediaan awal menjelang banjir, pihaknya mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama semua pihak berkaitan dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai disiapkan.

Menurutnya, pasukan yang akan bertugas di pejabat kesihatan dan hospital juga sudah bersedia malah kelengkapan logistik serta kesiapsiagaan mengenalpasti kawasan yang berpotensi berlakunya banjir juga dijalankan.

"Persediaan kita termasuk memilih premis kesihatan yang sesuai untuk proses pemindahan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis dan ibu hampir bersalin.

"Banjir di Kelantan setiap tahun berlaku dan Alhamdulillah, pengalaman lalu mengajar kita beberapa perkara dan sentiasa membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk memberikan rawatan yang sebaik mungkin.

"Kita memantau juga melalui Jabatan Meteorologi untuk pastikan sentiasa dalam kesiapsiagaan, cuma berharap dan berdoa supaya tidak berlaku banjir dalam skala yang besar," katanya.

Disiarkan pada: Oktober 21, 2023 @ 1:04pm
 
  • Created on .
  • Hits: 227