Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Bukan seperti drama bersiri CSI, analisis DNA ambil masa lama

Sisipan Akhbar: bharian.com.my (8 September 2024)

KOTA BHARU: Program Sains Forensik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) yang bermula sejak 2000 berjaya melahirkan lebih 500 graduan Sarjana Muda Sains Forensik dan 100 graduan pascasiswazah.

Pensyarah Universiti, Program Sains Forensik dan Unit HID/DNA, PPSK USM, Dr Nur Waliyuddin Hanis Zainal Abidin, berkata program Sains Forensik di PPSK bermula sebelum adanya siri televisyen 'Crima Scena Investigation' (CSI) disiarkan.

bharian 08092024

"Pada 2008, Unit HID/DNA di PPSK USM ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) seperti ujian paterniti dan pengecaman individu serta unit ini telah mendapat akreditasi ISO17025 oleh Jabatan Standard Malaysia," katanya.

Dr Nur Waliyuddin Hanis, berkata Sains Forensik adalah satu aplikasi sains dalam membantu sistem perundangan dengan menganalisis sampel biologi, sampel kimia dan sampel fizikal yang terdapat di tempat kejadian.

Beliau berkata dalam perundangan, Sains Forensik terbabit dalam mengemukakan hasil ujian saintifik yang dijalankan.

"Sains Forensik bukan untuk menentukan siapa yang terlibat atau bersalah sebaliknya jenayah yang dilakukan itu ditentukan oleh hakim berdasarkan hujah yang dibentangkan oleh peguam di mahkamah," katanya.

Katanya, DNA digunakan dalam forensik untuk pengecaman identiti dan menentukan hubungan kekeluargaan.

"DNA manusia terdiri daripada empat nukleotida iaitu A, T, C, dan G serta setiap sel akan membawa maklumat genetik yang sama. Rantaian nukleotida bes ini membentuk bebenang panjang dan berlingkar di dalam 23 pasang kromosom.

"Terdapat satu pasangan kromosom unik yang digelar kromosom seks yang menentukan lelaki atau wanita yang disebut sebagai kromosom X dan Y. Kromosom XX menentukan jantina seseorang itu adalah perempuan dan kromosom XY adalah lelaki.

"Secara umumnya, 99.9 peratus DNA setiap individu adalah sama dan hanya 0.1 peratus DNA yang berbeza serta tidak mempengaruhi pembentukan protein dan fungsi badan," katanya.

Beliau berkata, DNA antara bukti paling banyak digunakan dalam kes sivil bagi penentuan bapa atau ibu kepada si anak, pengesahan DNA bagi menuntut kewarganegaraan dan menentukan salasilah keturunan atau keluarga jauh yang terpisah.

"Dalam kes polis yang melibatkan jenayah atau kematian, DNA digunakan untuk pengecaman identiti mangsa atau suspek dengan mengambil sampel biologi seperti darah atau cecair badan daripada mana-mana bahagian badan atau tulang untuk dijadikan sampel ujian.

"Konsep penyiasatan dalam drama agak berbeza dengan realiti kerana penyiasatan dalam drama memerlukan jalan cerita yang singkat dan mudah difahami bagi menarik perhatian penonton.

"Namun, realiti sebenar adalah berbeza kerana siasatan analisis makmal bagi menjana DNA memerlukan masa dan proses yang panjang mengikut peringkat. Sampel DNA perlu dibawa ke makmal dan keputusan analisis akan diserahkan kepada pihak polis untuk penyiasatan seterusnya," katanya.

Dr Nur Waliyuddin Hanis berkata, sekiranya sampel DNA yang diterima sudah terlalu lama terdedah kepada persekitaran, ia akan menyebabkan kualiti DNA yang diekstrak menjadi rendah serta menyukarkan analisis dijalankan.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1295594/bukan-seperti-drama-bersiri-csi-analisis-dna-ambil-masa-lama

  • Created on .
  • Hits: 114