Harapan baharu buat 100 kanak-kanak penghidap jantung kongenital
Sisipan Akhbar: sinarharian.com.my (10 Mac 2026)
KOTA BHARU – Seramai 100 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah yang menghidap penyakit jantung kongenital disasarkan menerima bantuan kos rawatan dan pembedahan menerusi Kempen Healing 100 Hearts 2026 di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Shaiful Bahari Ismail berkata, kempen itu merupakan inisiatif untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga khususnya daripada golongan B40 yang berdepan kos rawatan penyakit jantung yang tinggi.
Menurut beliau, program itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara USM dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) serta rakan korporat sebagai usaha memastikan kanak-kanak yang memerlukan rawatan mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tanpa kekangan ekonomi.
“Melalui kempen ini, YJKM menyasarkan untuk mengumpul dana RM300,000 bagi menampung kos rawatan 100 pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital.
“YJKM akan menaja rawatan pesakit daripada keluarga kurang berkemampuan sehingga RM3,000 bagi setiap kes yang layak dan setakat ini RM30,000 berjaya dikumpul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Healing 100 Hearts 2026 di HPUSM di sini pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YJKM, Tan Chin Zhia.
- Created on .
- Hits: 40