Jangan terlalu taksub kejar ranking
Keratan Akhbar: malaysiapost.com.my
Tarikh: 19 November 2023
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, tidak taksub kepada usaha mengejar kedudukan universiti terbaik peringkat antarabangsa semata-mata.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jika IPT mengejar kedudukan semata-mata, masing-masing tidak mahu berkongsi kepakaran.
“Justeru, kita (IPT) tidak perlu beri penekanan kepada ranking (kedudukan).
“Kita tidak perlu taksub sebab sudah ada banyak kenyataan dan penulisan mengenai ranking dan banyak juga badan-badan antarabangsa yang melahirkan kebimbangan supaya kita tidak terima ranking ini bulat-bulat.
“Ia (kedudukan) tidak boleh mengukur secara umum kerana setiap universiti diwujudkan untuk tujuan dan matlamat berbeza sedangkan ukuran digunakan antaranya ada yang lebih sesuai untuk negara maju.
“Ada (kedudukan) tidak sesuai untuk (IPT) di banyak negara lain,” katanya lapor BH Online.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Ulang Tahun ke-40 Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, hari ini.
Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, ranking hanya boleh digunakan untuk melihat di mana kedudukan dan bukannya dijadikan sebagai asas sebuah universiti itu baik, cemerlang atau tidak.
“Tiga perkara ditekankan dalam sistem pendidikan tinggi untuk kerjasama bersepadu dan berkongsi sumber, kepakaran bergerak secara strategik supaya kita dapat bangunkan satu kepakaran,” katanya.— Malaysiapost
https://malaysiapost.com.my/2023/11/19/jangan-terlalu-taksub-kejar-ranking/
- Created on .
- Hits: 254