Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Kadar kerintangan insulin rakyat Malaysia tertinggi di Asia Tenggara

Keratan Akhbar: bharian.com.my

Tarikh: 17 Oktober 2023

KOTA BHARU: Berdasarkan kajian yang mendapati kadar prevalens kerintangan insulin dalam kalangan rakyat Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara, iaitu sebanyak 50.4 peratus.

Kajian dilakukan sekumpulan penyelidik insulin, tahun lalu menunjukkan prevalens kerintangan insulin kedua tertinggi adalah Indonesia, iaitu 44.3 peratus.

hhhh

Pakar Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Aniza Mohammed Jelani, berkata kerintangan insulin berpunca daripada faktor persekitaran seperti gaya hidup, aktiviti seharian dan pemakanan, selain faktor genetik tertentu.

Katanya, terdapat beberapa golongan berisiko mendapat kerintangan insulin, iaitu yang obesiti, gaya hidup sedentari dan tidak aktif bersenam.

"Diet tidak sihat dengan mengambil makanan manis dan tinggi kandungan karbohidrat, selain faktor genetik, penghidap dan penyakit 'polycystic ovarian syndrome' turut berisiko mendapat kerintangan insulin.

"Kerintangan insulin ialah gangguan fungsi hormon insulin, iaitu berlaku kegagalan tisu badan untuk bertindak balas terhadap hormon sekali gus menyebabkan gula tidak dapat diserap masuk ke dalam tisu untuk diproses.

"Seterusnya berlaku pengumpulan gula dalam darah pada kadar yang tinggi, lantas badan bertindak balas menghasilkan lebih banyak insulin daripada kebiasaan untuk meningkatkan kemasukan gula ke dalam tisu," katanya menerusi kenyataan.

Sekiranya masalah kerintangan insulin tidak dikawal, seseorang itu akan terdedah kepada risiko mendapat penyakit diabetes mellitus.

"Kerintangan insulin boleh di atasi dengan mengawal berat badan ideal, iaitu lima hingga tujuh peratus daripada berat badan asal berkesan mengatasi masalah itu dan mengelak risiko penyakit.

"Utamakan makan serat atau sayur-sayuran, sumber nutrien, protein sihat, karbohirat, oat serta roti bergandum penuh. Elakkan makanan manis, tinggi lemak dan kandungan garam.

Beliau berkata, insulin adalah sejenis hormon dihasilkan oleh pankreas dan berfungsi untuk mengawal paras gula dalam darah supaya sentiasa dalam keadaan normal.

"Di dalam badan manusia, selepas setiap kali pengambilan makanan, karbohidrat daripada makanan akan ditukarkan kepada gula ringkas dan ini menyebabkan paras gula di dalam darah meningkat.

"Apabila paras gula di dalam darah meningkat, insulin akan dirembes dan merangsang sel-sel badan terutama hati, otot dan sel-sel lemak untuk menyerap gula yang terdapat dalam darah untuk disimpan sebagai sumber tenaga atau glikogen.

"Insulin akan bertindak untuk merencat pemecahan glikogen kepada gula di dalam hati ke dalam darah sehingga paras gula di dalam darah kembali normal," katanya.

https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2023/10/1166190/kadar-kerintangan-insulin-rakyat-malaysia-tertinggi-di-asia

  • Created on .
  • Hits: 160