Kebajikan penuntut USM terjaga
UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu membekalkan kupon makanan dan barangan runcit percuma kepada penuntutnya yang menginap di asrama, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Kampus Kesihatan, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, hal itu selaras dengan pengumuman bantuan kepada pelajar universiti terkandas di asrama seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
Pihaknya memberikan mereka kupon RM10 sehari sepanjang PKP fasa pertama dan RM15 sehari bagi PKP fasa kedua.“
Selain itu, dalam memastikan keperluan penuntut mencukupi sepanjang PKP, ada individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbangkan wang tunai serta barangan keperluan kepada pihak universiti untuk diagihkan kepada mereka.
“Sumbangan barangan keperluan yang diberikan ini amat dihargai memandangkan penuntut kami tidak tidak dapat keluar dari kampus seperti biasa dan hanya bergantung harap kepada kafeteria dan kedai runcit di dalam kampus ,” katanya.
Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Senaman dan Sukan, Kavitha Sivapragasam, 22, kupon itu amat membantunya.
“Bukan itu sahaja, malah ada di antara kami yang sukar mengunjungi mesin pengeluaran wang automatik
(ATM) terdekat kerana ada ketikanya mesin kehabisan wang disebabkan orang ramai sibuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
“Pada peringkat awal PKP, situasi ini agak sukar apatah lagi dengan pelbagai spekulasi sehingga menimbulkan panik, tetapi setelah berjaya mengharungi minggu pertama PKP, saya dan rakan-rakan lain sudah mula dapat menyesuaikan diri,” katanya.
Katanya, ibu bapa juga tidak perlu bimbang mengenai keperluan asas mereka yang terpaksa menginap di asrama sepanjang tempoh PKP kerana pihak universiti sentiasa memastikan kebajikan penuntutnya terjaga.
- Created on .
- Hits: 105