Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Kehadiran pakar bedah jantung UK beri sinar baharu kanak-kanak jantung berlubang

Keratan Akhbar: bharian.com.my

Tarikh: 28 Oktober 2023

KOTA BHARU: Kehadiran pakar kardiotorasik (pembedahan jantung) pediatrik dari United Kingdom (UK) memberi sinar baharu kepada kanak-kanak yang menghidap jantung berlubang di negeri ini.

bharian

Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital USM, Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata, setiap tahun Hospital USM akan bekerjasama dengan pasukan perubatan Healing Little Heart (HLH) untuk melakukan pembedahan jantung kepada pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital.

Katanya, dalam siri lawatan pasukan perubatan HLH dari UK ke Hospital USM pada tahun ini, dianggarkan kira-kira RM200,000 diperuntukkan untuk kos keseluruhan pembedahan jantung kongenital yang dijadualkan dilakukan kepada 10 orang pesakit kanak-kanak berusia diantara 10 bulan hingga 7 tahun.

"Semua pesakit kanak-kanak ini menghidap pelbagai masalah jantung kongenital dijadualkan menjalani pembedahan sepanjang lima hari diketuai pasukan perubatan HLH selain dibantu oleh pakar perubatan serta kakitangan Hospital USM.

"Pasukan perubatan HLH ini tiba di Hospital USM pada 22 Oktober lalu terdiri daripada sebelas petugas termasuk Pakar Bedah Kardiotorasik Pediatrik, Pakar Kardiologi Pediatrik, Pakar Kardiologi Pediatrik Intensif, jururawat serta Perfusionis diketuai oleh Pengasas Pertubuhan HLH, Dr Sanjiv Nichani," katanya.

Dr Mohd Rizal yang juga Pengarah Program Kebajikan Kardiotorasik USM-HLH berkata, kos pembedahan bagi penyakit jantung kongenital biasanya mencecah RM40,000 hingga RM50,000 bagi setiap kes.

"Bagaimanapun, menerusi program ini, pesakit tidak perlu menanggung kos rawatan yang tinggi kerana sebahagian besar kos berkenaan ditanggung oleh Hospital USM, Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS), Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM)," katanya.

Beliau berkata, program ini bukan sahaja bertujuan membantu pesakit, malah menjadi satu proses pemindahan ilmu dan kepakaran selain memberi pendedahan dalam merawat kes-kes yang lebih kompleks.

"Pada masa sama, melalui program ini juga, pasukan perubatan Hospital USM dapat berkongsi kepakaran dan penggunaan peralatan canggih dari luar negara dalam melatih doktor-doktor di Hospital USM seiring dengan perkembangan ilmu perubatan yang bergerak pantas di seluruh dunia.

"Saya berharap program kebajikan ini dilaksanakan dengan lebih kerap bagi membantu lebih ramai pesakit jantung kanak-kanak menjalani pembedahan sekali gus mengurangkan beban keluarga pesakit yang berhadapan dengan kos pembedahan yang tinggi dan tempoh menunggu yang lama untuk melakukan pembedahan," katanya.

Sehingga kini, lebih 80 pesakit kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang menghidap penyakit jantung kongenital mendapat rawatan serta manfaat melalui Program Kebajikan Kardiotorasik USM – HLH sejak 2015.

Penyakit jantung kongenital adalah satu daripada penyakit utama dalam kalangan kanak-kanak yang membabitkan kira-kira lapan kes dalam setiap seribu kelahiran.

Sementara itu, seorang ibu pesakit jantung kongenital kanak-kanak, Fauziah Mohd Ariffin, 40, berkata, bersyukur di atas rezeki Allah SWT yang tidak dijangka kerana memudahkan proses rawatan ke atas anak bongsunya Muhammad A'azz Nurulhaifi.

"Lemah longlai seluruh badan saat saya mendapat berita anak yang saya lahirkan bukan sahaja menghidap 'sindrom down' tetapi turut menghidap penyakit jantung kongenital tiga hari selepas dilahirkan 10 bulan lalu," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/10/1170144/kehadiran-pakar-bedah-jantung-uk-beri-sinar-baharu-kanak-kanak

  • Created on .
  • Hits: 253