KEMPEN HEALING 100 HEARTS BANTU 100 KANAK-KANAK HIDAP JANTUNG KONGENITAL
Sisipan Akhbar: imedikeltv.com.my (10 MAC 2026)
KOTA BHARU: Seramai 100 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital bakal menerima bantuan rawatan menerusi Kempen Healing 100 Hearts 2026 yang dilancarkan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), di sini.
Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Shaiful Bahari Ismail, berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga pesakit khususnya daripada golongan B40 selain memastikan mereka mendapat akses kepada rawatan berkualiti tanpa kekangan ekonomi.
“Ini adalah harapan baharu kepada pesakit untuk kembali sembuh dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
“Kita juga bekerjasama dengan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) bagi meningkatkan akses rawatan jantung kongenital di Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Healing 100 Hearts 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, YJKM akan menaja rawatan pesakit daripada keluarga kurang berkemampuan sehingga RM3,000 bagi setiap kes yang layak.
Katanya, setiap tahun dianggarkan antara 250 hingga 300 bayi dilahirkan dengan kecacatan jantung kongenital dan kira-kira dua pertiga daripada jumlah itu memerlukan rawatan sama ada melalui pembedahan atau rawatan perubatan.
“Melalui kempen ini, kita bukan sahaja mengumpul dana, malah ia menjadi simbol keprihatinan dan solidariti masyarakat dalam memastikan setiap kanak-kanak yang dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital berpeluang menikmati kehidupan yang lebih sihat,” katanya.
- Created on .
- Hits: 36