Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Masalah kesuburan membabitkan wanita dan lelaki

Sisipan Akhbar: bharian.com.my (21 September 2024)

BERDASARKAN kajian, satu daripada lima pasangan di Malaysia mengalami masalah kesukaran untuk mengandung.

Walaubagaimanapun, dengan kewujudan saringan dan rawatan moden serta terkini dapat meningkatkan peluang kehamilan pasangan yang mempunyai masalah kesuburan (infertiliti) untuk menimang cahaya mata.

Infertiliti merujuk kepada pasangan yang tidak hamil selama setahun tanpa mengamalkan sebarang kaedah perancangan keluarga.

bh21092024

Menurut Pakar Perubatan Reproduktif, Unit Rawatan Kesuburan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Adibah Ibrahim, wanita berusia kurang daripada 35 tahun dikategorikan mempunyai masalah kesuburan jika tidak hamil setelah setahun mencuba, manakala tempoh berkenaan hanyalah enam bulan untuk wanita berusia 35 tahun ke atas.

Katanya, masalah infertiliti berpunca daripada faktor lelaki atau wanita atau kombinasi faktor lelaki dan wanita.

"Kadang kala, tidak ada faktor yang dijumpai setelah saringan dilakukan dan keadaan ini dipanggil sebagai 'unexplained infertility' atau kebiasaannya disebut ketidaksuburan tanpa punca.

"Antara punca utama masalah infertiliti wanita adalah masalah ovulasi seperti sindrom ovari polisistik, gangguan pada tiub fallopio, endometriosis atau masalah pada rahim dan faktor usia juga memainkan peranan penting di mana kesuburan wanita menurun dengan bertambahnya usia," katanya.

Katanya, punca utama infertiliti bagi lelaki pula boleh disebabkan oleh kualiti sperma yang rendah, bilangan sperma yang sedikit atau masalah dengan penghantaran sperma.

"Oleh itu, pasangan suami isteri perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah berkenaan dengan berkesan," katanya.

bharian 08092024 2

Katanya, diet seimbang yang kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan penting untuk kesihatan reproduktif.

"Antara nutrien penting untuk penghasilan sperma yang sihat kepada lelaki adalah asid folik, zink, vitamin C, vitamin E dan asid folik untuk wanita.

"Penggunaan bahan terlarang seperti rokok dan minuman keras mempercepatkan penurunan jumlah telur dan mengurangkan bilangan atau motiliti sperma yang sihat, merosakkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sperma serta mengganggu persekitaran rahim," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa cara untuk melakukan ujian saringan infertiliti kepada pasangan.

"Bagi wanita, keseimbangan hormon wanita dan kemampuan berovulasi ditentukan melalui ujian darah yang diambil pada hari kedua atau ketiga haid dan sekali lagi pada hari ke-21 haid.

"'Ultrasound' melalui faraj juga dilakukan untuk memastikan keadaan kilang telur atau ovari serta rahim tidak mempunyai masalah.

"Selain itu, keutuhan tiub fallopia juga dipastikan agar tidak mempunyai masalah melalui prosedur 'hysterosalpingography' iaitu sejenis 'x-ray' yang terperinci atau melalui kaedah pembedahan laparoskopik," katanya.

Beliau turut menjelaskan, lelaki juga perlu menjalani saringan dengan melakukan pemeriksaan air mani yang diambil melalui prosedur masturbasi dan sekiranya keputusan adalah normal, pemeriksaan lanjut tidak diperlukan lagi.

"Namun, jika keputusan pemeriksaan air mani tersebut tidak normal, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan," katanya.

Dr Adibah berkata, ramai wanita kini memberi keutamaan membina kerjaya serta lambat berkahwin dan keadaan ini menjadikan keputusan untuk membina keluarga dilakukan pada usia yang lewat menyebabkan tahap kesuburan menurun.

"Selain itu, gaya hidup yang tidak sihat seperti pemakanan yang tidak seimbang, pengambilan bahan-bahan terlarang seperti merokok, pengambilan alkohol dan dadah juga merupakan antara faktor penyebab infertiliti.

"Gaya hidup dan pemakanan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kesuburan, sama ada lelaki atau wanita selain berat badan berlebihan (obesiti) boleh mengganggu keseimbangan hormon dalam badan yang mana ia penting untuk ovulasi pada wanita dan penghasilan sperma yang sihat pada lelaki.

"Wanita yang kurus pula menghadapi masalah kitaran haid yang tidak teratur atau ketiadaan haid dan kekurangan lemak badan menyebabkan gangguan dalam ovulasi kerana lemak diperlukan untuk menghasilkan hormon estrogen," katanya.

Dr Adibah berkata, bagi langkah pencegahan yang proaktif dan berkesan, individu dan pasangan perlu mengekalkan dan meningkatkan kesuburan dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengamalkan gaya hidup, pemakanan dan aktiviti fizikal yang sihat.

"Pengurusan stres dengan berkesan adalah kunci pencegahan kepada kesihatan reproduktif yang optimum dan kejayaan dalam merancang kehamilan pada usia yang sesuai," katanya.

Beliau menasihatkan, pasangan yang sudah berkahwin dan bercadang untuk memiliki cahaya mata agar menangani masalah kesuburan dengan mengawal pemakanan dan mengambil makanan sihat di samping mengamalkan gaya hidup sihat dalam meningkatkan peluang untuk hamil secara semula jadi.

INFO:
Cara mengatasi masalah kesuburan lelaki & wanita:

* Berjumpa doktor pakar sakit tuan dan sakit puan untuk pemeriksaan dan konsultasi.

* Mengenal pasti punca ketidaksuburan dan menjalani rawatan yang bersesuaian.

* Melakukan rawatan kesuburan seperti IVF.

* Mengawal berat badan dan gaya hidup sihat serta mengurangkan stres.

* Menjaga nutrisi pemakanan dan diet.

 

https://www.bharian.com.my/sihat/2024/09/1301072/masalah-kesuburan-membabitkan-wanita-dan-lelaki

  • Created on .
  • Hits: 200