"Bagi menjaga kesihatan mental, pengurusan HUSM memperkenalkan satu fasiliti rasmi yang menyediakan perkhidmatan kaunseling profesional kepada warga USM dan masyarakat sekitar," katanya ketika dihubungi.
Shaharum berkata, kaunselor bertanggungjawab untuk menyediakan ruang sesi kaunseling yang kondusif dan terapeutik serta menepati piawai yang ditetapkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia.
"Di samping itu, kaunselor juga terikat dengan kod etika untuk menjaga dan melindungi kerahsiaan maklumat klien dalam perhubungan membantu.
"Justeru adalah penting bagi ruang kaunseling yang digunakan untuk mengikut spesifikasi khusus agar kerahsiaan ini dapat dipelihara dengan baik," katanya.
Katanya, peranan kaunselor bukan hanya memfokuskan kepada golongan tertentu, bahkan merangkumi semua peringkat umur daripada kanak-kanak sehingga warga emas yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat.
"Skop tugas kaunselor bukan sekadar melakukan sesi kaunseling di bilik sahaja tetapi perlu mendekati komuniti serta mengenal pasti keperluan mereka.
"Kaunselor adalah satu keperluan dan menjadi tunjang kesejahteraan masyarakat," katanya.
Shaharum turut berharap perkhidmatan kaunseling HUSM dapat dibudayakan dalam kehidupan tanpa mengira di organisasi ataupun dalam masyarakat.
"Apa yang penting adalah kesedaran kendiri terhadap kesihatan mental dan tahu bahawa khidmat profesional disediakan sebagai sistem sokongan psikologi.
"Kerjasama semua pihak dalam menyokong usaha membudayakan perkhidmatan kaunseling ini dilihat boleh membantu mengurangkan stigma kepada mereka yang memerlukan seterusnya menjalani kehidupan yang berkualiti dan berada pada tahap yang optimum," katanya.
Berdasarkan Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi tahun 2019, satu daripada lapan orang mengalami masalah kesihatan mental yang mana kebimbangan dan kemurungan adalah antara yang tertinggi direkodkan.
Sementara itu, data yang diperoleh daripada 'National Health and Morbidity Survey' (NHMS) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sebanyak 424,000 kanak-kanak mengalami isu kesihatan mental manakala 2.3 peratus golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas mengalami kemurungan.