"Pesakit yang mempunyai tanda-tanda ini biasanya akan dirujuk kepada pakar untuk melakukan pengesahan dengan menjalani pemeriksaan endoskopi ke dalam rongga hidung. Sedikit sampel tisu untuk pemeriksaan histopatologi diambil daripada kawasan nasofarinks," katanya.
Dr Irfan berkata, ketumbuhan atau sel kanser biasanya terletak di belakang hidung di nasofarinks (ruang belakang tekak di persimpangan antara hidung dan mulut) serta tempat berkenaan mempunyai struktur penting (tulang tengkorak, pelbagai saraf kranial, lantai otak, telinga dan mata) dan kanser mudah merebak ke kawasan ini.
"Bagi mengenal pasti kawasan rebakan sel kanser ini, pengimejan seperti 'Computed Tomography' (CT) scan akan dilakukan untuk membantu diagnosis yang lebih tepat serta kawasan yang sudah terkesan dengan perebakannya sama ada kawasan sekitar atau bahagian yang lebih jauh seperti tulang belakang, hati atau paru-paru.
"Selepas mengenal pasti kawasan rebakan sel kanser, rawatan akan dimulakan ke atas pesakit dan kebanyakan pesakit yang menghidap kanser nasofarinks dirawat tanpa membabitkan pembedahan," katanya.
Beliau berkata, terdapat banyak faktor risiko berlakunya kanser nasofarinks dan ia mudah dijangkiti bagi mereka yang berusia antara 40 hingga 60 tahun terutamanya kaum lelaki selain mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser atau NPC.
"Selain itu, asosiasi dengan virus 'Epstein Barr' juga berkait rapat dengan kanser ini dan saringan virus berkenaan boleh dibuat bagi mereka yang berada dalam golongan berisiko.
"Bagaimanapun, kanser ini paling kerap berlaku dalam kalangan kaum Cina, malah terdapat juga laporan kajian yang menunjukkan trend bagi penyakit kanser ini sedikit tinggi dalam kalangan kaum Bidayuh di Sarawak," katanya.