Pesakit injap jantung boleh bertahan 10 tahun lagi selepas jalani TAVI
Keratan Akhbar: bharian.com.my
Tarikh: 24 November 2023
FAKTOR usia antara punca utama injap jantung individu rosak.
Injap aorta jantung lazimnya berlaku membabitkan individu berusia 65 tahun ke atas apabila ia menjadi rosak, keras dan sempit yang dinamakan sebagai aortic stenosis (AS).
Apabila berlaku penyempitan, jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah perlu membawa oksigen ke seluruh badan serta otak dan hal ini boleh mengakibatkan individu itu mengalami sakit dada, pening atau pengsan.
Pakar Perunding Kardiologi, juga Penyelaras Makmal Kardiologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Wan Yus Haniff Wan Isa berkata, dengan kecanggihan teknologi terkini, proses penggantian injap aorta jantung boleh dilakukan melalui prosedur 'Transcatheter Aortic Valve Implantation' (TAVI).
Prosedur TAVI adalah rawatan pesakit yang mengalami injap aortik tersumbat (aortic stenosis) sehingga mengakibatkan kemerosotan fungsi injap untuk menyalurkan darah ke seluruh anggota badan.
Katanya, TAVI belum meluas kerana kurang kesedaran masyarakat berkaitannya dan
kos tinggi, iaitu antara RM100,000 hingga RM130,000 bagi setiap kes.
"Berbeza pembedahan terbuka mengambil masa tiga atau empat jam, berbanding TAVI lebih pendek.
"Pesakit dibenarkan pulang selepas satu hingga dua hari menjalani TAVI, manakala selepas seminggu kebanyakan pesakit boleh melakukan aktiviti seperti biasa," katanya.
Pembedahan terbuka proses penyembuhan antara dua hingga tiga bulan, berbanding TAVI lebih selamat bagi pesakit berusia, mengurangkan risiko kematian, strok ketika pembedahan, masalah kegagalan buah pinggang dan kehilangan darah.
"TAVI dibuat dengan satu cucukan di pangkal peha kiri atau kanan dan memasukkan satu tiub ke dalam saluran darah sehingga ke injap jantung.
"Injap jantung gantian akan dimasukkan menerusi tiub itu secara perlahan-lahan dan selepas injap ditukar ia akan berkembang dan mengambil alih fungsi injap asal," katanya.
Selepas tiub akan dikeluarkan semula dan doktor akan menutup luka hirisan kecil di bahagian paha pesakit.
"Di Hospital USM, injap gantian digunakan daripada tisu lembu dan bahan ini diuji keberkesanannya selain membantu injap berfungsi seperti biasa.
"Jantung akan berdenyut dengan lebih baik dan pesakit boleh bernafas serta melakukan aktiviti harian seperti biasa," katanya.
Jangka hayat pesakit boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun selepas menjalani TAVI iaitu bersamaan dengan daya tahan injap digantikan berbanding tanpa prosedur itu atau gantian injap/
Pesakit akan mengalami masalah kualiti hidup terjejas serta masalah kegagalan jantung dalam masa dua tahun atau boleh berlaku kematian.
"Kebanyakan pesakit hampir berputus asa disebabkan banyak hospital tidak sanggup mengambil risiko melakukan pembedahan terbuka kerana faktor usia hingga menyebabkan kematian tinggi.
"Dengan peralatan TAVI memberi peluang pesakit menjalani pembedahan melalui prosedur singkat, luka sedikit serta tiada parut.
- Created on .
- Hits: 252