Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PRK Kemaman: Penuntut universiti dibenar pulang mengundi

Keratan Akhbar: sinarharian.com.my

Tarikh: 19 November 2023

KOTA BHARU - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kebenaran kepada penuntut universiti untuk pulang melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut menjadi kebiasaan dilakukan oleh kementerian itu setiap kali hari mengundi diadakan.

sinar harian

“Pada pilihan raya, siapa-siapa yang ada tanggungjawab dan nak balik mengundi, kami tak halang.

“Lagi pun hari mengundi pada Sabtu dan tak ada kelas,” katanya selepas merasmikan Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (USM)(1983-2023) di Kubang Kerian di sini, pada Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini sebagai tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember bagi hari mengundi.

PRK tersebut diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15.

Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada PRU15, Parlimen itu menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon pada PRU15 ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan yang memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air meraih 506 undi.

https://www.sinarharian.com.my/article/635327/berita/nasional/prk-kemaman-penuntut-universiti-dibenar-pulang-mengundi

  • Created on .
  • Hits: 255