'Rasa kosong dan tidak berharga...'
Sisipan Akhbar: bharian.com.my (27 Ogos 2024)
KOTA BHARU: Remaja mengalami kemurungan akan hilang minat melakukan aktiviti harian, berasa kosong atau tidak berharga, sukar menjalani kehidupan seharian sehingga boleh mengganggu perkembangan diri serta mempengaruhi kualiti hidup secara keseluruhan.
Masalah ini berada pada tahap membimbangkan meskipun pelbagai pendekatan sudah diambil.
Kemurungan remaja memberi kesan kepada emosi dan mental, selain boleh mengganggu fungsi sosial serta akademik mereka, malah mungkin hingga melarikan diri dari rumah atau mengambil tindakan nekad dengan membunuh diri.
Menurut Pakar Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Norzila Zakaria, kemurungan membabitkan remaja dipengaruhi oleh beberapa faktor, iaitu isu berkaitan harga diri, buli, prestasi akademik rendah, orientasi seksual serta pengalaman sebagai mangsa penganiayaan fizikal atau seksual.
Katanya, faktor itu boleh menyebabkan tekanan mendalam dan menyumbang kepada perkembangan kemurungan, mempengaruhi kesejahteraan emosi dan mental remaja.
"Sekiranya simptom kemurungan berterusan, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mendorong mencederakan diri atau membunuh diri," katanya.
Beliau berkata, menangani dan mengenal pasti kemurungan membabitkan remaja lebih sukar berbanding orang dewasa sering
menunjukkan simptom kemurungan klasik.
Sesetengah mereka, katanya mungkin ada kecenderungan genetik terhadap kemurungan, iaitu babitkan faktor genetik dalam keluarga turut mempengaruhi risiko kemurungan.
Personaliti yang sensitif juga boleh menyebabkan mereka lebih sukar memahami dan mengawal emosi.
"Perubahan ketara dalam pemikiran dan tingkah laku dapat dilihat pada remaja atau kanak-kanak yang mengalami kemurungan.
"Mereka cenderung mengasingkan diri, sering bersendirian di dalam bilik, kehilangan minat lakukan aktiviti menyeronokkan, hilang selera makan dan mengabaikan kebersihan diri.
"Apabila seseorang itu mengalami kemurungan teruk, mereka biasanya akan mengalami gangguan tidur dan sering terjaga pada awal pagi antara jam 3 hingga 4 pagi dan sukar tidur semula," katanya.
150 kanak-kanak, remaja buat rawatan kemurungan
Dr Norzila berpengalaman 19 tahun di Unit Bimbingan Kanak-kanak dan Remaja, Klinik Psikiatri Hospital USM, berkata seramai 150 kanak-kanak dan remaja berumur antara empat hingga 18 tahun sudah mendapatkan rawatan untuk masalah kemurungan di hospital itu.
"Kami melihat peningkatan dalam kes kemurungan setiap tahun, dipercayai disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kemajuan teknologi, pengaruh media sosial, masalah di sekolah, keluarga yang sibuk serta konflik dalaman seperti kemiskinan dan perceraian ibu bapa.
"Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan baik, kemurungan boleh terus membelenggu mereka dan mungkin membawa kepada masalah lebih serius," katanya.
Katanya, bagaimanapun kemurungan dalam kalangan remaja boleh dicegah dengan menggalakkan kesihatan fizikal yang baik melalui amalan diet sihat, senaman mencukupi dan interaksi sosial yang positif.
"Remaja perlu digalakkan luah dan berkongsi perasaan serta masalah dihadaoi kepada guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat.
"Jika diperlukan, mereka harus dirujuk kepada kaunselor, pakar psikologi atau psikiatri bagi mengelakkan masalah lebih serius.
Katanya, ibu bapa tidak sepatutnya menghukum dengan cara memalukan sebagai cara mendidik, sebaliknya perlu pendekatan lebih positif bagi mengelak remaja rasa rendah diri dan tidak berharga.
"Setiap anak unik, berbeza dan disebabkan itu ibu bapa harus mengelakkan membandingkan dengan anak-anak lain.
"Mengabaikan permintaan anak atau banding-membandingkan boleh membuat mereka berasa tidak dihargai dan seterusnya boleh mendorong simptom kemurungan," katanya.
Kemurungan boleh berpunca daripada perubahan kimia dalam otak terutama ketidakseimbangan 'neurotransmitter' seperti serotonin dan norepinephrine.
"Faktor biologi, selain sejarah keturunan, genetik, persekitaran keluarga dan corak pemikiran negatif menyumbang risiko kemurungan.
"Pelbagai kategori kemurungan dikenal pasti termasuk gangguan depresi utama (major depressive disorder), gangguan depresi berterusan (persistent depressive disorder), gangguan bipolar, kemurungan bermusim (seasonal affective disorder), kemurungan selepas bersalin (postpartum depression), dan kemurungan psikotik," katanya.
Justeru, ibu bapa perlu lebih peka terhadap gejala kemurungan itu.
"Dengan kesedaran lebih awal ia dapat ditangani dengan berkesan termasuk mendapatkan bantuan profesional yang sesuai.
"Pada pandangan saya, pendidikan kesihatan mental seharusnya dimulakan sebelum berkahwin.
"Ibu bapa perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran keibubapaan dan memahami gejala kemurungan berbeza mengikut fasa tumbesaran anak.
"Masalah kemurungan kanak-kanak dan remaja boleh diatasi dengan mengamalkan gaya hidup sihat dalam sebuah keluarga," katanya.
https://www.bharian.com.my/wanita/keluarga/2024/08/1290498/rasa-kosong-dan-tidak-berharga
- Created on .
- Hits: 219