Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

'Stimulasi otak dalam' ubah keadaan pesakit

Sisipan Akhbar: bharian.com.my (31 Mac 2025)

STIMULASI otak dalam (SOD) atau lebih dikenali 'deep brain stimulation' ialah satu kaedah rawatan moden yang menggunakan rangsangan elektrik secara berterusan untuk memberi peningkatan kesan rawatan kepada penyakit tertentu.

Kebiasaannya, SOD membantu merawat penyakit yang dikenali sebagai neuro digeneratif seperti parkinson, ketar (esential tremor) dan distonia.

Selain untuk penyakit neuro-digeneratif, prosedur SOD juga dikembangkan merawat penyakit lain seperti psikiatri, 'obsessive compulsive disorder' (OCD), 'major depression', kemurungan, sawan dan epilepsi.

SOD1

Menurut Pakar Bedah Otak dan Saraf Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Prof Datuk Dr Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, SOD adalah prosedur pembedahan membabitkan penanaman peranti yang menghantar impuls elektrik ke kawasan tertentu otak.

Katanya, rawatan berkenaan digunakan untuk mengawal aktiviti otak tidak normal yang sering menjadi punca utama pelbagai gangguan neurologi.

"Prosedur ini membabitkan tiga komponen utama iaitu neurostimulator (menyerupai perentak jantung), elektrod dan wayar sambungan yang menghubungkan kedua-duanya.

"Neurostimulator biasanya diletakkan di bawah kulit berhampiran tulang selangka, manakala elektrod ditanam di dalam otak dan wayar sambungan menyambungkan kedua-duanya serta membolehkan neurostimulator menghantar impuls elektrik ke otak," katanya.

Katanya, SOD membantu mengawal corak yang tidak normal dengan menghantar impuls elektrik ke kawasan tertentu otak bagi meningkatkan fungsi motor dan mengurangkan gejala.

"Bagi penghidap parkinson, sistem kawalan motor otak terjejas menyebabkan gegaran, ketegaran, dan bradykinesia (pergerakan perlahan), SOD membantu mengawal corak yang tidak normal dengan menghantar impuls elektrik ke kawasan tertentu otak bagi meningkatkan fungsi motor serta mengurangkan gejala," katanya.

Tambahnya, pembedahan SOD biasanya dijalankan dalam keadaan pesakit sedar sepenuhnya di mana pesakit perlu berinteraksi dengan pakar yang menjalankan pembedahan berkenaan.

"Rawatan SOD amat menarik kerana ia membabitkan pesakit secara aktif dan kesan selepas pembedahan dapat dilihat serta merta terutama bagi pesakit yang menghidap penyakit parkinson.

"Ketika pembedahan dijalankan, doktor akan meletakkan alat kecil yang dipanggil neurostimulator di dalam otak dan peranti ini menghantar isyarat elektrik ke bahagian otak tertentu untuk membantu mengurangkan gejala seperti masalah gegaran atau pergerakan," katanya.

SOD2

Katanya, setiap pembedahan atau perawatan mempunyai risiko sama seperti pembedahan lain termasuk SOD.

"SOD direka untuk mengurangkan gejala gangguan neurologi tetapi sesetengah orang mungkin mengalami gejala atau kesan sampingan tertentu selepas prosedur.

"Gejala biasa yang sering terjadi ialah sakit tapak pembedahan (ketidakselesaan atau kesakitan di lokasi di mana elektrod ditanam), sakit kepala yang berterusan selepas pembedahan, bengkak ringan di sekitar kawasan pembedahan, perubahan mood atau perubahan emosi, pening, kesukaran sementara untuk bercakap dengan jelas, pengecutan atau kekejangan otot dan kesukaran untuk tidur," katanya.

Katanya, bagaimanapun, pesakit akan dinilai terlebih dahulu oleh kumpulan pakar pelbagai multidisiplin untuk menentukan sama ada pesakit layak atau tidak menjalani pembedahan SOD.

"Salah satu kriteria wajib ialah pesakit mestilah menghidap penyakit yang dikenal pasti mempunyai potensi memberi klinikal impak sekiranya menjalani pembedahan SOD seperti rawatan ubat-ubatan yang tidak lagi memberi faedah kepada pesakit tersebut disebabkan oleh penyakitnya semakin kronik.

"Selain itu, pesakit yang mendapat kesan sampingan teruk akibat daripada rawatan ubat dan tiada pilihan lain serta mempunyai kriteria yang membolehkan pesakit menjalani pembedahan SOD, contohnya pesakit kanser otak akan dipertimbangkan untuk menjalani pembedahan SOD," katanya.

Katanya, SOD adalah rawatan yang dikenal pasti terbukti memberikan kesan klinikal amat baik serta membantu meningkatkan kualiti kehidupan pesakit.

"Namun, rawatan SOD bukan rawatan penyembuhan sebaliknya membantu mengurangkan atau memanjangkan tempoh masa sahaja.

"Contohnya, pesakit yang menghidap parkinson, penyakit ini akan bertambah teruk dari semasa ke semasa. Melalui rawatan SOD, ia membantu mengurangkan getar dan pada masa yang sama memberi kualiti ke arah yang lebih baik dan berguna kepada pesakit di mana pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Dr Ab Rahman Izaini menasihatkan orang ramai yang mempunyai gejala penyakit yang membolehkan mereka menjalani prosedur SOD agar mendapat rawatan segera bagi membantu pesakit mendapat kualiti hidup lebih baik.

 

https://www.bharian.com.my/sihat/2025/03/1378934/stimulasi-otak-dalam-ubah-keadaan-pesakit

  • Created on .
  • Hits: 26