Tangan menggeletar, badan jadi keras antara tanda hidap parkinson
Keratan Akhbar: bharian.com.my
Tarikh: 6 Januari 2024
INDIVIDU berusia 50 tahun ke bawah berisiko menghidap penyakit parkinson disebabkan faktor genetik.
Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil sahaja penghidap penyakit itu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap parkinson.
Parkinson adalah penyakit kronik 'Neurodegenerative Disorder' boleh menyebabkan gangguan berterusan serta menyukarkan pergerakan tubuh dalam tempoh lama.
Penyakit ini juga timbul secara perlahan-lahan dengan kemerosotan dan kematian 'neuron' tertentu di otak terutama kawasan yang mengawal gerakan.
Pakar Neurosurgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ang Song Yee, berkata empat tanda seseorang menghidap parkinson iaitu sentiasa menggeletar, pergerakan menjadi lambat, badan menjadi keras dan ketidakseimbangan badan.
Gerakan gementar merujuk kepada pesakit yang akan perasan tangan atau kaki mereka menggeletar tanpa kawalan terutama semasa rehat.
"Manakala pergerakan menjadi lambat pula merujuk kepada setiap aktiviti yang dilakukan oleh seseorang individu itu menjadi lambat dan terganggu seperti berjalan, membuat kerja rumah dan aktiviti harian lain.
"Tanda parkinson juga dikaitkan tangan dan kaki pesakit menjadi keras atau kaku dan sering mengalami ketidakseimbangan badan, iaitu mudah jatuh terutama ketika berjalan atau bangun dari duduk," katanya.
Menyebabkan kemerosotan saraf otak
Kebiasaannya penyakit parkinson berlaku disebabkan 'idiopathic' yang tidak diketahui bergantung kepada faktor genetik yang menyebabkan kemerosotan saraf otak.
"Parkinson sebenarnya boleh dirawat melalui pembedahan 'deep brain stimulation' atau rangsangan otak. Namun, kaedah ini hanya untuk melengah atau melewatkan proses kemerosotan ubat.
"Pesakit biasanya akan dimasukkan ke wad dan dirujuk kepada pakar perubatan neurologi untuk menjalani ujian bagi melihat kesesuaian kepada pembedahan rangsangan otak.
"Pembedahan membantu pesakit mengurangkan tanda penyakit, selain mendapat kualiti kehidupan lebih bagus.
"Pembedahan 'deep brain stimulation' juga dipercayai dapat mengurangkan keperluan ubat-ubatan dan secara tidak langsung dos ubat makin berkurangan," katanya.
Antara komplikasi pembedahan 'deep brain stimulation' ialah jangkitan kuman dan pendarahan otak.
"Bagaimanapun, antibiotik akan diberi kepada pesakit untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman dan kemudahan teknologi canggih 'image-guided surgery' (IGS) akan digunakan bagi mengelak alat yang dimasukkan terkena salur darah untuk mengurangkan risiko pendarahan otak.
"Dengan kemajuan serta perkembangan dalam bidang penjagaan kesihatan dan nutrisi, jangka hayat individu akan turut meningkat," katanya.
- Created on .
- Hits: 243