Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Tercekik tulang ikan, jangan jolok tekak dengan jari

Sisipan Akhbar: bharian.com.my (24 OGOS 2026)

SETIAP individu mungkin pernah berdepan situasi tulang ikan tersangkut di tekak.

Walaupun sering dianggap masalah kecil, keadaan itu boleh menyebabkan kesakitan yang mengganggu, menyukarkan proses menelan dan menimbulkan kebimbangan, terutama apabila rasa mencucuk pada tekak tidak hilang.

Ada juga yang cuba menjolok tekak menggunakan jari bagi mengeluarkan tulang berkenaan.

Hakikatnya, tindakan itu bukan sahaja tidak membantu, malah boleh memburukkan keadaan.

Pakar Otorinolaringologi–Pembedahan Kepala dan Leher (ORL-HNS) di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nik Fariza Husna Nik Hassan, berkata kes tulang ikan tersangkut di tekak adalah antara kes kecemasan paling lazim diterima di Jabatan Otorinolaringologi (ENT).

"Walaupun sering dianggap remeh, ia boleh bertukar menjadi mimpi ngeri yang mengancam nyawa sekiranya tidak ditangani dengan betul atau pesakit mengambil tindakan yang salah," katanya.

Beliau berkata, kes seumpama itu berlaku hampir setiap hari di hospital dan berkait rapat dengan tabiat pemakanan masyarakat tempatan yang gemar menikmati hidangan ikan dimasak secara utuh seperti ikan goreng atau gulai, berbanding fillet yang sudah dibuang tulangnya.

Kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada risiko berkenaan, terutama jika menikmati hidangan ikan tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga. Oleh kerana kanak-kanak kecil sukar menjelaskan apa yang mereka alami, orang dewasa perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku selepas makan.

Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah anak tiba-tiba enggan makan atau minum, menangis setiap kali menelan, air liur meleleh kerana tidak mahu menelan, kerap memegang leher atau telinga atau muntah.

Dalam keadaan lebih serius, kanak-kanak mungkin mengalami nafas berbunyi atau berdehit (stridor), petanda saluran pernafasan mula terjejas dan memerlukan rawatan kecemasan segera.

Dr Nik Fariza berkata, kebanyakan kes yang mendapatkan rawatan awal berada dalam kategori ringan hingga sederhana dan boleh dirawat dengan mudah.

"Bagi kes ringan, tulang ikan biasanya tersangkut di bahagian atas tekak seperti di celah tonsil dan boleh dikeluarkan menggunakan penyepit khas dalam beberapa minit.

"Bagaimanapun, jika tulang tersangkut lebih dalam seperti di pangkal lidah, hipofaring atau saluran makanan (esofagus), pesakit mungkin memerlukan prosedur endoskopi atau pembedahan di bawah bius penuh bagi mengeluarkannya dengan selamat," katanya.

Beliau berkata, kelewatan mendapatkan rawatan meningkatkan risiko komplikasi kerana tulang yang tajam boleh melukakan lapisan tekak atau esofagus, sekali gus membuka laluan kepada bakteria memasuki tisu leher.

Apabila bakteria memasuki kawasan itu, jangkitan boleh berkembang dengan cepat sehingga menyebabkan pembentukan nanah atau abses dalam tempoh 24 hingga 72 jam.

Lebih membimbangkan, pembengkakan tisu dan pengumpulan nanah boleh menekan saluran udara sehingga pesakit mengalami kesukaran bernafas.

Risiko kebocoran pada saluran makanan

Selain itu, tulang ikan yang tajam juga berisiko menyebabkan kebocoran pada saluran makanan (esophageal perforation), jangkitan di ruang leher dalam atau rongga dada (mediastinitis), malah dalam kes tertentu boleh menyebabkan jangkitan merebak ke dalam aliran darah sehingga mencetuskan sepsis yang mengancam nyawa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berlengah mendapatkan pemeriksaan sekiranya rasa mencucuk pada tekak masih berlarutan selepas 15 hingga 30 minit.

Menurutnya, perkara pertama yang perlu dilakukan apabila mengesyaki tulang ikan tersangkut ialah bertenang. Individu boleh mencuba minum sedikit air kosong kerana rasa tidak selesa mungkin berpunca daripada sisa makanan atau tulang yang sangat halus.

Namun, jika simptom tidak berkurangan, pesakit perlu segera mendapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital dan mengelakkan sebarang kaedah rawatan sendiri yang boleh meningkatkan risiko kecederaan.

Beliau turut menegaskan, amalan tradisional seperti menelan segumpal nasi atau pisang bagi menolak tulang keluar bukanlah pilihan yang selamat.

"Jika tulang yang tersangkut kecil, mungkin ada kemungkinan ia berjaya. Namun, jika tulang itu besar atau tajam, tindakan menelan makanan dalam kuantiti yang banyak boleh menolak tulang lebih dalam sehingga tertancap pada dinding tekak atau saluran makanan.

"Keadaan itu bukan sahaja menyukarkan doktor mengesan dan mengeluarkan tulang, malah meningkatkan risiko kecederaan dan kebocoran pada saluran makanan," katanya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah masih ada individu yang cuba mengeluarkan tulang dengan menjolok tekak menggunakan jari.

Dr Nik Fariza berkata, tindakan yang dikenali sebagai blind finger sweep itu sama sekali tidak digalakkan kerana lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat.

"Apabila seseorang memasukkan jari atau kuku ke dalam tekak tanpa dapat melihat kedudukan sebenar tulang, tindakan itu boleh mencakar dinding tekak yang sangat sensitif sehingga menyebabkan luka dan pendarahan.

"Lebih buruk lagi, tulang ikan boleh tertolak lebih jauh ke dalam tisu atau saluran makanan, sekali gus menyukarkan proses mengeluarkannya dan meningkatkan risiko komplikasi," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu memahami, doktor menggunakan peralatan khas dan pencahayaan yang sesuai untuk mengenal pasti kedudukan tulang sebelum mengeluarkannya dengan selamat.

Oleh itu, cubaan mengeluarkan tulang sendiri menggunakan jari bukan sahaja tidak berkesan, malah boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih serius.

Katanya, walaupun kematian akibat tulang ikan tersangkut jarang berlaku, risiko komplikasi serius tetap wujud sekiranya rawatan ditangguhkan.

"Jangan anggap masalah ini perkara biasa. Sekiranya rasa mencucuk masih berterusan, sakit semakin teruk, sukar menelan atau mengalami kesukaran bernafas, segera dapatkan rawatan.

"Yang paling penting, jangan sesekali menjolok tekak menggunakan jari atau mencuba kaedah ekstrem untuk mengeluarkan tulang kerana tindakan itu boleh menyebabkan kecederaan yang lebih serius dan menyukarkan rawatan," katanya.

INFO:

Tanda-tanda tulang ikan tersangkut;

- Sakit ketika menelan.

- Rasa mencucuk di tekak.

- Sukar makan dan minum.

- Air liur meleleh (terutama kanak-kanak).

- Memegang leher atau telinga kerana sakit.

- Muntah atau menjelak.

- Nafas berbunyi (kes kecemasan).

Apa perlu dilakukan jika tulang ikan tersangkut?

Lakukan:

- Kekal bertenang.

- Minum air sedikit demi sedikit.

- Jika sakit masih berlarutan selepas 15–30 minit, segera ke klinik atau hospital.

Jangan lakukan:

- Menjolok tekak dengan jari.

- Menelan segumpal nasi atau pisang untuk "menolak" tulang.

- Memaksa mengeluarkan tulang sendiri.

 

https://www.bharian.com.my/sihat/2026/08/1606089/tercekik-tulang-ikan-jangan-jolok-tekak-dengan-jari

  • Created on .
  • Hits: 7