Terdedah pada cahaya matahari, berisiko dapat kanser kulit
Keratan Akhbar: bharian.com.my
Tarikh: 4 November 2023
KOTA BHARU: Purata ketumbuhan pada kulit di antara 70 hingga 80 peratus adalah bukan kanser kulit, namun perlu peka terhadap sebarang perubahan drastik kepada ketumbuhan pada kulit bagi mengelak kelewatan mendapatkan rawatan jika ia adalah kanser.
Pakar Perunding Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Wan Azman Wan Sulaiman, berkata kanser kulit juga seperti kanser lain yang boleh merebak pada anggota badan lain akibat daripada ketumbuhan yang tidak boleh dikawal oleh tubuh dan tidak mendatangkan sakit sehingga ia berada pada tahap perebakan lebih serius.
Ketumbuhan pada kulit disebabkan sel tidak normal dan antara yang paling biasa berlaku terutama di negara tropika akibat kecederaan pendedahan persekitaran panas.
"Tiga jenis kanser kulit, iaitu iaitu 'Basal Cell Carcinoma', 'Squamous Cell Carcinoma' dan 'Malignant Melanoma'.
"Basal Cell Carcinoma' paling biasa berlaku dan kurang agresif kerana purata pembesarannya perlahan, selain peluang jangkitan pada anggota badan lain juga rendah berbanding 'Squamous Cell Carcinoma' yang mudah merebak serta lebih agresif.
"Malignant Melanoma' sangat agresif, malah sukar dirawat dan sangat cepat merebak serta tidak semestinya timbul.
"Malah kanser kulit jenis ini lebih cepat membesar berbanding jenis lain," katanya.
Prihatin tanda kanser kulit
Beliau juga Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, berkata anggota badan seperti leher dan muka mudah terkena terdedah kepada cahaya matahari mudah dapat kanser kulit kerana ada ultra ungu.
"Tanda jelas biasa perubahan warna, struktur bentuk ketara dan saiz pembesaran lebih cepat daripada biasa, malah ada sesetengahnya menjadi gatal, susah sembuh atau luka dengan sendiri.
"Jika semua ini berlaku, individu perlu mendapatkan rawatan segera," katanya.
Risiko kanser kulit bergantung kepada sejarah keluarga dan kesan terdedah cahaya matahari berpanjangan menyebabkan terjadinya 'Sun Damage'.
"Secara biologi, kanser kulit kurang terjadi kepada kulit berwarna gelap kerana mempunyai mekanisma dapat melindungi risiko dipanggil 'melanin' berbeza dengan penyakit Albino dan berkulit cerah," katanya.
"Pelbagai kaedah rawatan di peringkat awal, tidak membabitkan pembedahan contohnya penggunaan laser dan sebagainya.
"Gunakan krim pelindung cahaya suria melebihi 30 dengan 'Sun Protection Factor'(SPF), elak risiko kanser kulit," katanya.
- Created on .
- Hits: 257