Tidak semua perubahan di payudara itu barah
Keratan Akhbar: bharian.com.my
Tarikh: 8 Mac 2024
KOTA BHARU: Tidak semua perubahan pada payudara adalah barah namun keperluan untuk mendapatkan kepastian dan rawatan lanjut amat penting.
Hal itu disebabkan berlaku peningkatan jumlah kes barah payudara di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menyaksikan ia berada dalam kelompok 10 teratas jenis kanser di Malaysia.
Pakar Perunding Patologi (Payudara dan Endokrin) yang juga Penyelaras Penyelidikan, 'Breast Cancer Awareness and Research Unit' (BestARi), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Wan Faiziah Wan Abdul Rahman, berkata setiap orang terutama wanita perlu mengenal pasti setiap perubahan yang berlaku pada payudara.
"Antara perubahan yang mungkin berlaku adalah ketulan dalam payudara (keras seakan biji lemon yang kurang bergerak), ia seolah-olah melekat pada sesuatu atau ketulan yang didapati saiznya membesar dengan cepat dan tidak sakit.
"Selain itu puting tertarik ke dalam hingga boleh menyebabkan berlaku lekukan atau keadaan payudara yang berubah bentuk dan tidak simetri.
"Perubahan lain mungkin terdapat lelehan cecair atau darah dari puting, permukaan kulit pada payudara menjadi tebal dan berliang," katanya.
Katanya, barah dibahagikan kepada dua faktor iaitu yang boleh diubah dan faktor yang tidak boleh diubah. Faktor jantina adalah risiko kanser payudara utama kerana 99 peratus pesakit adalah wanita dan bakinya lelaki.
Namun terdapat juga faktor risiko lain antaranya peningkatan usia lebih daripada 40 tahun, obesiti, pengambilan alkohol, sejarah keluarga, pendedahan kepada radiasi, faktor reproduktif (umur bermula haid dan umur ketika hamil pertama agak awal), pengambilan rokok atau tembakau dan terapi hormon selepas menopaus.
"Realiti yang kita perlu tahu, hampir separuh daripada pesakit kanser payudara didapati tidak ada faktor risiko yang dapat dikenal pasti selain daripada jantina iaitu wanita dan berumur lebih daripada 40 tahun," katanya.
Namun tegas Dr Wan Faiziah, dengan kepelbagaian rawatan yang ada kini, kadar keberkesanan rawatan meningkat begitu tinggi bagi pesakit yang dikesan awal.
Justeru katanya, masyarakat perlu membuat pengesanan awal dan membuang mitos serta stigma seperti rasa malu atau takut.
Namun katanya, dalam masa sama sokongan perlu diberikan kepada pesakit dan jangan membebankan mereka dengan anggapan barah payudara sebagai hukuman atau pengakhiran cerita.
"Menerima kenyataan sebagai pesakit kanser bukan sesuatu yang mudah. Jadi, perkara utama yang perlu dilakukan untuk melawan kanser adalah dengan mendapatkan kumpulan sokongan kerana melawan kanser bukan acara persendirian," katanya.
- Created on .
- Hits: 341