Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Tiga faktor makanan tak selamat, dicemari 'racun'

Sisipan Akhbar: bharian.com.my (12 Julai 2024)

KOTA BHARU: Pengurusan penyediaan makanan yang selamat langkah perlu diambil bagi memastikan makanan disediakan bebas daripada pencemaran dan selamat untuk dimakan.

bhdoc12 1720750561

Pensyarah Program Pemakanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zafirah Mohd Nor, berkata tiga faktor menyebabkan makanan tidak selamat atau tercemar iaitu pencemaran kimia, pencemaran fizikal, dan pencemaran biologi.

Katanya, pencemaran kimia terjadi ketika fasa pengeluaran dan pemprosesan makanan dan pencemaran fizikal pula apabila makanan boleh tercemar oleh benda asing seperti serpihan kaca, logam atau plastik ketika pemprosesan.

"Manakala pencemaran berlaku makanan boleh tercemar oleh bakteria atau virus. Contohnya, 'Salmonella', 'E. Coli' dan 'Listeria' yang boleh dijumpai dalam makanan mentah seperti daging, telur dan sayur-sayuran yang tidak dicuci dengan bersih.

"Salmonella', 'E. Coli', dan 'Campylobacter' dapat berkembang biak di dalam makanan jika tidak disimpan atau dimasak dengan betul dan apabila makanan yang dicemari bakteria ini dimakan.

pencemaranmakanan 1720750546

"Bakteria ini menghasilkan toksin atau menyebabkan jangkitan dalam tubuh manusia yang mengarah kepada gejala seperti mual, muntah dan demam," katanya.

Selain itu, ada juga mikroorganisma yang menghasilkan toksin dapat bertahan dalam makanan meskipun dimasak.

Contohnya bakteria 'Staphylococcus Aureus' yang tetap menghasilkan toksin walaupun makanan sudah dimasak malah kesannya boleh menyebabkan gejala keracunan makanan dalam waktu yang singkat apabila dimakan.

"Bagi mengelak keracunan makanan, pengendali makanan wajar menitikberatkan persediaan makanan yang selamat seperti basuh tangan dengan betul, memastikan ruang dan peralatan memasak seperti pisau dan papan pemotong bersih, basuh sayur-sayuran di bawah air yang mengalir untuk membuang kekotoran seperti pasir terlebih sebelum dimasak.

"Memasak makanan sehingga mendidih dan makanan mentah disimpan berasingan dengan makanan yang sedia dimakan," katanya.

Bagi penyimpanan makanan sudah dimasak dan tidak dimakan perlu disimpan dalam peti sejuk dalam tempoh tidak melebihi dua jam selepas dimasak.

Elak simpan makanan di peti sejuk lebih tiga hari

"Pastikan suhu peti sejuk di antara kosong hingga empat darjah celsius dan jangan simpan makanan sudah dimasak lebih tiga hingga empat hari di dalam peti sejuk.

"Sekiranya makanan dibeli itu dibungkus untuk dibawa pulang, perlu dimakan segera dalam tempoh kurang empat jam selepas dibungkus dan jika makanan itu rosak, mempunyai bau yang kuat serta berubah warna atau kelihatan berlendir, sila elak daripada memakannya," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa memeriksa tarikh luput makanan walaupun ia masih kelihatan baik dan mengikut arahan penyimpanan betul seperti disertakan pada setiap makanan.

"Peringkat pemilihan dan penyimpanan bahan mentah seperti daging, ayam dan hasil tenusu juga penting kerana ia perlu disimpan pada suhu betul dan teliti bagi memastikan ia segar dan bebas kerosakan serta mengelakkan pertumbuhan bakteria berbahaya," katanya.

https://www.bharian.com.my/sihat/2024/07/1270292/tiga-faktor-makanan-tak-selamat-dicemari-racun

  • Created on .
  • Hits: 156