Uncle Jet graduan bidang perubatan tertua USM
Sisipan Akhbar: hmetro.com.my (27 November 2025)
Georgetown: Seorang lelaki yang juga bekas jurutera, Dr Ng Jet Kwan, 57, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meraih Ijazah Doktor Perubatan pada Sidang Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-63 sekali gus menjadi graduan tertua berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Malaysia.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor yang akrab disapa Uncle Jet itu berkata, beliau memendam hasrat menjadi doktor sejak kanak-kanak namun selepas tamat sekolah menengah, dirinya tidak mendapat tempat sebelum memutuskan meneruskan pengajian bidang kejuruteraan.
"Pada awal 1990-an, peluang sangat terhad kerana hanya terdapat empat institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang menawarkan program perubatan di Malaysia menjadikan persaingan sangat tinggi dan sukar mendapat tempat ketika itu.
"Ibu bapa saya bekerja sebagai penjaja dan kami bukanlah keluarga orang senang.
"Tetapi cita-cita itu tidak pernah padam. Saya mendaftar di USM pada 2021 semasa umur 51 tahun selepas kedua-kedua anak tamat belajar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Lebih membanggakan, katanya, anak perempuan sulungnya, Ng Zhu Chin, 29, kini bergelar doktor residen di Hospital Besar Massachusetts, Amerika Syarikat manakala anak lelaki bongsunya, Ng Zhu Han, 25, berkhidmat sebagai peguam di Australia.
Uncle Jet amat berterima kasih kepada semua pensyarah di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian, Kelantan terutama mentornya, Pakar Neurosains, Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah yang banyak memberi pedoman dan suntikan semangat dalam mengharungi cabaran sebagai pelajar senior.
Menurutnya, cabaran awal ketika menuntut ilmu di negeri Che Siti Wan Kembang itu ialah memahami loghat Kelantan namun beliau dapat menyesuaikan diri dengan cepat kerana sifat masyarakat tempatan yang peramah dan mudah mesra.
"Walaupun ada pensyarah lebih muda daripada saya, itu bukan penghalang. Malah, ada yang sebaya dan kami boleh berbincang secara santai.
"Saya juga rapat dengan rakan sekelas dan bersyukur menghabiskan pengajian mengikut jadual tanpa penangguhan.
"Saya juga berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana mempunyai dasar yang membolehkan saya mengejar cita-cita zaman kanak-kanak dan kini saya sudah memulakan latihan 'housemanship' di Hospital Pakar USM (HPUSM) di bahagian pembedahan am.
"Selepas tamat latihan di HPUSM, saya berhasrat mendapatkan lesen dan permit untuk membuka klinik sendiri," katanya yang sebelum ini pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan Tradisional Cina selama lima tahun dari 2012 hingga 2017 di sebuah universiti di Singapura.
Disiarkan pada: November 27, 2025 @ 5:34pm
- Created on .
- Hits: 93