Uncle Jet graduan doktor perubatan tertua Malaysia
Sisipan Akhbar: bharian.com.my (27 November 2025)
GEORGETOWN: Seorang warga emas yang juga bekas jurutera, Dr Ng Jet Kwan, 57, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meraih Ijazah Doktor Perubatan pada Upacara g Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-63 sekali gus menjadi graduan tertua berjaya menamatkan pengajian bidang perubatan di Malaysia, setakat ini.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor yang mahu dikenali sebagai Uncle Jet berkata, beliau memendam hasrat menjadi doktor sejak kanak-kanak namun selepas tamat sekolah menengah dirinya tidak mendapat tempat sebelum memutuskan meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan.
"Pada awal 1990-an, peluang sangat terhad kerana hanya ada empat Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang menawarkan program perubatan di Malaysia, menjadikan persaingan sangat tinggi dan sukar mendapat tempat ketika itu.
"Ibu bapa saya bekerja sebagai penjaja dan kami bukanlah keluarga orang senang. Tetapi cita-cita itu tidak pernah padam. Saya mendaftar di USM pada 2021 ketika berusia 51 tahun selepas kedua-kedua anak tamat belajar," katanya di sini, hari ini.
Lebih membanggakan, anak perempuan sulungnya, Ng Zhu Chin, 29, juga kini bergelar doktor residen di Hospital Besar Massachusetts, Amerika Syarikat manakala anak lelaki bongsunya, Ng Zhu Han, 25, berkhidmat sebagai peguam di Australia.
Uncle Jet berterima kasih kepada semua pensyarah di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian, Kelantan terutama mentornya, Pakar Neurosains, Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah yang banyak memberi pedoman dan suntikan semangat dalam mengharungi cabaran sebagai pelajar warga emas.
Katanya, cabaran awal ketika menuntut ilmu di Kelantan adalah untuk memahami loghat negeri itu namun beliau dapat menyesuaikan diri dengan cepat kerana masyarakat tempatan peramah dan mudah mesra.
"Walaupun ada pensyarah lebih muda daripada saya, itu bukan penghalang. Malah, ada yang sebaya dan kami boleh berbincang secara santai. Saya juga rapat dengan rakan sekelas dan bersyukur menghabiskan pengajian mengikut jadual tanpa penangguhan.
"Saya juga berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mempunyai dasar yang membolehkan saya mengejar cita-cita zaman kanak-kanak dan kini saya sudah memulakan latihan 'housemanship' di Hospital Pakar USM (HPUSM) di bahagian pembedahan am.
"Selepas tamat latihan di HPUSM saya berhasrat mendapatkan lesen dan permit untuk membuka klinik sendiri," katanya yang sebelum itu pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan Tradisional Cina selama lima tahun dari 2012 hingga 2017 di sebuah universiti di Singapura.
- Created on .
- Hits: 91