Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM wujud pusat rawat lima jenis kanser utama di Kepala Batas

Sisipan Akhbar: hmetro.com.my (20 April 2025)

Kota Bharu: Universiti Sains Malaysia (USM) mewujudkan Pusat Pakar Klinikal Dan Penyelidikan Kanser di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM di Bertam Indah, Kepala Batas bagi merawat lima jenis penyakit kanser utama di negara ini.

1000130208

Naib Canselor USM Prof Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, pusat penyelidikan yang diwujudkan sejak tahun lalu memfokuskan lima jenis kanser iaitu kanser sarcoma, kanser payudara, kanser hati, kanser serviks dan kanser lidah.

"Berdasarkan rekod, setakat ini purata pesakit yang mendapat rawatan adalah 8,000 setahun dan sebahagian daripada jumlah berkenaan adalah pesakit kanser.

"Terdapat lima doktor pakar dari USM Pulau Pinang dan pada masa sama turut dibantu pakar dari USM Kubang Kerian dalam bidang onkologi selain doktor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kawasan Pulau Pinang untuk membantu merawat pesakit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Gala Aidilfitri Kampus Kesihatan USM 2025 yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti USM Datuk Seri Awang Adek Hussin di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman berkata, sejak kebelakangan ini semakin ramai yang menghidap penyakit kanser dan kepakaran yang terdapat di USM dari segi peralatan serta kemudahan yang ada dapat membantu dalam merawat penyakit kanser.

"Contohnya, USM adalah satu-satunya tempat rawatan kanser lidah di mana pesakit sembuh sepenuhnya tanpa perlu memotong bahagian lidah untuk membuang sel kanser, berbanding di tempat lain cara rawatannya adalah dengan membuang kawasan lidah yang terkena sel kanser.

"Di USM kita menggunakan kaedah rawatan secara radioterapi dan lebih 50 pesakit kanser lidah yang dapat disembuhkan sepenuhnya tanpa memerlukan pemotongan lidah.

"Dalam dunia ini ada empat tempat sahaja yang merawat kanser lidah tanpa memotong bahagian lidah dan di Asia Tenggara hanya terdapat di USM dan inilah kekuatan yang ada pada kita," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha penambahbaikan fasiliti yang ada termasuk menambah peralatan yang sedia ada selain menggantikan yang lama melalui bantuan yang diperoleh daripada kerajaan pusat melalui peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Pada tahun ini kita mendapat peruntukan berjumlah RM73 juta untuk penambahan bilangan katil di wad serta peralatan merawat kanser.

"Jadi dengan adanya peralatan dan ruang tambahan ini, Insya-Allah kita dapat merawat lebih ramai lagi pesakit kanser dan bukan sahaja di kawasan utara malah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk datang membuat rawatan kanser di pusat ini," katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2025 @ 3:19pm

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/04/1209758/usm-wujud-pusat-rawat-lima-jenis-kanser-utama-di-kepala-batas

 

 

  • Created on .
  • Hits: 12