‘17TH NATIONAL DENTAL STUDENTS SCIENTIFIC CONFERENCE’ PERKASAKAN PERANAN AI DAN KOLABORASI IPT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Julai 2025 – Sebagai pendekatan untuk menggalakkan pelajar pergigian melibatkan diri dalam penyelidikan dan menyumbang kepada kemajuan sains pergigian, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan ‘17th National Dental Students Scientific Conference’ pada 5 Julai 2025.
Persidangan yang membawa tema ‘Revolutionising Oral Health through AI’ ini diadakan sejajar dengan usaha memperkenalkan kecerdasan buatan (AI) dalam memodenkan amalan pergigian dan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan oral.
Selain itu, persidangan ini juga mewujudkan peluang untuk pelajar berinteraksi dengan ahli fakulti, penyelidik dan profesional industri selain memberi inspirasi untuk meneroka pendekatan dan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran pergigian yang lazim.
Seramai 110 peserta daripada sembilan (9) fakulti pergigian universiti seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam persidangan ini termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), AIMST University, Manipal University College Malaysia, International Medical University, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan USM.
Persidangan ini turut bertujuan menggalakkan budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar pergigian serta memupuk jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia. Pelbagai program telah dianjurkan termasuk ‘oral presentation’ dan ‘e-poster presentation’, ‘Plastinomy: Skull Edition’ bagi meningkatkan pemahaman anatomi kepala dan leher melalui pendekatan kreatif dan interaktif, pertandingan ‘Digital Dentistry: 3D Scan’, ‘Public Health Promotional Video’ dan ‘Tooth and Travel Competition’.
Melalui persidangan ini, USM berjaya memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi, dan pembelajaran kolaboratif dalam bidang pergigian. Secara keseluruhan, persidangan ini bukan sahaja meningkatkan mutu pendidikan pergigian di Malaysia, malah turut memberi impak positif kepada masyarakat melalui penekanan kepada amalan berasaskan bukti (evidence-based practice), penggunaan teknologi terkini termasuk AI, dan pemerkasaan penjagaan kesihatan oral pada masa hadapan.
Sumber Laporan dan Foto: Dr. Nurulezah Hasbullah
- Created on .
- Hits: 75