Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘ENDOSCOPY WORKSHOP 2025’: INISIATIF USM MANTAPKAN KEMAHIRAN OGDS DAN KOLONOSKOPI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Disember 2025 – Bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran teknikal dan pemahaman klinikal peserta dalam endoskopi melalui latihan berstruktur, praktikal dan berasaskan pengalaman, Unit Endoskopi Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dengan kerjasama rakan industri strategik Olympus Malaysia telah menganjurkan ‘Endoscopy Workshop 2025’ pada 26 dan 27 November lalu.

1000205488

Bengkel ini dirangka bertujuan meningkatkan kemahiran teknikal peserta dalam prosedur esofagogastroduodenoskopi (OGDS) dan kolonoskopi, di samping memberi pendedahan awal kepada pelajar perubatan mengenai asas-asas endoskopi melalui sesi simulasi. Penganjuran bengkel ini juga merupakan salah satu inisiatif penting ke arah memperkukuh pendidikan klinikal, meningkatkan kapasiti latihan, serta menyokong matlamat USM sebagai universiti berteraskan penyelidikan dan inovasi.

1000205490

1000205494

Hari pertama bengkel ini dimulakan dengan dua (2) sesi syarahan yang merangkumi asas OGDS dan kolonoskopi, termasuk indikasi, kontraindikasi, asas anatomi, serta langkah-langkah keselamatan prosedur. Seterusnya, peserta yang terdiri daripada pelajar Sarjana Surgeri dan pegawai perubatan diberi peluang menjalani sesi ‘hands-on’ OGDS dan kolonoskopi ke atas pesakit sebenar di bawah bimbingan pakar bedah dan gastroenterologi USM. Pelajar Doktor Perubatan pula menjalani latihan simulasi menggunakan peralatan dan modul latihan disediakan oleh Olympus untuk memberi mereka pengalaman awal sebelum terlibat dalam prosedur sebenar semasa klinikal.

1000206305

1000205496

Hari kedua bengkel ini diisi dengan sesi praktikal intensif melibatkan prosedur OGDS dan kolonoskopi ke atas pesakit sebenar. Melalui bimbingan rapat oleh fasilitator, peserta dapat meningkatkan ketepatan teknik, memperkukuh kemahiran mengendalikan endoskop dan membina keyakinan dalam membuat keputusan klinikal semasa prosedur. Latihan praktikal berulang membolehkan peserta memahami variasi anatomi, mengesan patologi gastrousus, serta mengamalkan piawaian keselamatan mengikut garis panduan yang diguna pakai.

1000205498

Selain itu, bengkel ini juga dilihat turut mengukuhkan standard latihan endoskopi negara dengan memperkenalkan pendekatan latihan berasaskan pengalaman sebenar dan penggunaan teknologi moden. Bengkel sebegini diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai program berkala bagi membina lebih ramai operator endoskopi yang kompeten di masa hadapan serta menyokong usaha meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Malaysia.

1000205492

Hadir merasmikan bengkel ini ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab. Ghani

Sumber Laporan & Foto: Dr. Arif Faizal Abdul Aziz

  • Created on .
  • Hits: 316