‘GEAR-UP!2026’ INISIATIF USM MARA BIMBING PELAJAR LEPASAN SPM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Mac 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus berkolaborasi dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi program 'GEAR UP! 2026' (Get Ready for University Programme) dalam usaha membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terutamanya golongan B40, mempersiapkan diri ke menara gading.


Program tiga (3) hari yang berlangsung bermula 8 Mac hingga 10 Mac itu dianjurkan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Jabatan Pendaftar USM dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA), melibatkan seramai 100 peserta bertujuan memberi keyakinan kepada para pelajar dalam menempuh cabaran mendatang bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan memperkenalkan program Pra-Universiti USM kepada kumpulan sasaran untuk memastikan pengisian kuota yang telah diperuntukkan oleh MARA.


Dalam program hari ini, para peserta didedahkan dengan sesi ceramah khas bertajuk ‘Your Future Starts Here’ – Meneroka Peluang, Mencipta Masa Depan yang disampaikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah. Ceramah tersebut memberi inspirasi kepada pelajar tentang laluan pendidikan serta potensi masa depan dalam bidang kesihatan.



Seterusnya, para peserta turut menyertai aktiviti ‘Campus Adventure’ yang melibatkan lawatan dan penerokaan ilmu di tiga (3) pusat pengajian utama di Kampus Kesihatan USM iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSP). Sepanjang lawatan tersebut, para peserta diberi penerangan mengenai program pengajian yang ditawarkan, di samping berpeluang melawat Muzium Anatomi, Bilik ‘Fixed Learning Module’ (FLM), Makmal Teknologi Pergigian (MTP), Makmal Forensik, Kejururawatan dan Sains Sukan.

Penganjuran program seperti ini diharap dapat membuka minda pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi dalam bidang kesihatan serta memberi motivasi kepada mereka untuk melanjutkan pengajian di USM.


Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad; Penolong Pengarah Bahagian Penganjuran MARA, Nurmaizal Aziz; Pegawai Latihan Negeri MARA Kelantan, Mohd Thalhah Ab.llah dan Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, Nurul Khairunnisa Mohammad.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 544