Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘MILES FOR CLEFT’ KOLABORASI MAHASISWA IPT KUMPUL DANA SUMBING BIBIR DAN LELANGIT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Mei 2025 - Menyedari kepentingan dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat khususnya kanak-kanak yang mengalami ‘Cleft Lip and Palate’, Persatuan Sains Pergigian, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan program larian amal ‘Miles for Cleft 2025’ pada 23 Mei lalu.

1000140402

Program ini bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Cleft Lip and Palate Association of Malaysia (CLAPAM) serta Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Hospital Pakar USM (PEKA) sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu sumbing bibir dan lelangit.

1000140403

Dana yang dikumpulkan akan dimanfaatkan bagi membantu kanak-kanak yang menghidap masalah sumbing bibir dan lelangit selaras dengan hasrat USM dalam memperkasakan ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) iaitu mengetengahkan SDG3 – ‘Good Health and Well-Being’ dan SDG17 – ‘Partnership for the Goals’.

1000140399

‘Miles for Cleft 2025’ merupakan kesinambungan daripada program ‘Run for Cleft’ yang telah dianjurkan secara fizikal pada tahun 2016, 2018 dan 2019 serta secara maya pada tahun 2022 dan 2023. Buat julung kalinya selepas pandemik, program ini kembali dengan format hybrid yang menggabungkan penyertaan secara fizikal dan maya pada tahun ini.

1000140400

Antara aktiviti yang turut dijalankan sepanjang program ini ialah cabutan bertuah, pemeriksaan pergigian percuma oleh Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan konsultasi pemakanan oleh pelajar Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).

1000140401

Program yang dianjurkan secara kolaborasi bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kesihatan USM, Universiti Muhammadiyah Indonesia, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AISMT), MAHSA University, Lincoln University College, Manipal University dan SEGi University ini berjaya menarik penyertaan lebih 150 peserta fizikal yang terdiri daripada pelajar dan staf USM, wakil Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPPK) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Machang serta komuniti setempat.

1000140404

Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti PPSG, Dr. Norhayati Yusop yang mewakili Dekan PPSG. Turut hadir ialah wakil CLAPAM, Profesor. Dr. Wan Azman Wan Sulaiman, Penasihat Persatuan Sains Pergigian, Dr. Rosmaliza Ramli dan Pensyarah PPSG, Dr. Johari Yap.

Sumber Laporan: Nur Farhana Fazreen Anuaruddin/ Foto: Asyiq Syahmi Amran

  • Created on .
  • Hits: 139