Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘PINK OCTOBER’ 2025: HPUSM FOKUS PENGESANAN AWAL KANSER PAYUDARA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Oktober 2025 — Satu (1) daripada 19 wanita di Malaysia berisiko menghidap kanser payudara dan lebih separuh daripadanya hanya dikesan ketika berada pada tahap tiga (3) atau empat (4). Hakikat ini menzahirkan keperluan mendesak untuk memperkukuh saringan awal serta meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat.

1000186260

Menyedarinya, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerusi Unit Kesedaran dan Penyelidikan Kanser Payudara (BestARi) dengan kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKEKWA) menganjurkan Program Advokasi Mamogram dan Sambutan ‘Pink October’ 2025 di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

1000186250

1000186252

Program ini diadakan bertujuan meningkatkan kefahaman tentang kepentingan pengesanan awal dan pencegahan kanser payudara, di samping memperkukuh peranan komuniti dalam memberi sokongan terhadap pesakit dan keluarga mereka. Namun, cabaran besar masih wujud apabila sebahagian masyarakat menganggap pemeriksaan payudara tidak perlu dilakukan pada peringkat awal, malah ada yang berasa malu untuk tampil membuat pemeriksaan. Keadaan ini menjadi punca utama kelewatan pengesanan penyakit tersebut.

1000186256

Sebagai usaha intervensi, program ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan klinikal payudara, mamogram, pameran advokasi kesihatan serta ceramah kesedaran yang disampaikan oleh pakar perubatan USM. Program ini juga turut menawarkan perkhidmatan mesin ‘Automated Breast Ultrasound’ (ABUS) iaitu teknologi saringan moden yang berupaya meningkatkan kadar pengesanan awal simptom kanser payudara khususnya bagi wanita yang mempunyai tisu payudara padat dan berisiko tinggi.

1000186258

Selain itu, program ini turut berjaya menarik penyertaan warga kampus untuk bersama-sama mengangkat kempen ‘Pink October’ sebagai tanda solidariti terhadap pesakit kanser payudara. Usaha ini memperlihatkan peranan proaktif USM dalam mendukung agenda ‘Sustainable Development Goals’ (SDG), bukan sahaja dari segi meningkatkan literasi kesihatan (SDG 3), tetapi juga dalam memupuk jaringan sokongan komuniti yang mampan dan inklusif.

1000186254

Perasmian majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kerajaan Negeri Kelantan, Nor Asilah Mohamed Zin. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Dekan Libatsama Industri – Komuniti dan Pembangunan, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Aziah Daud dan Ketua Unit BestARi HPUSM merangkap Pengerusi Program Advokasi Mamogram dan Sambutan ‘Pink October’ 2025, Profesor Madya Dr. Maya Mazuwin Yahya.

Teks: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

 

  • Created on .
  • Hits: 135