10 HPU SANTUNI KOMUNITI KAMPUNG BIJURAY, HPUSM KONGSI ILMU PENJAGAAN LUKA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 September 2026 - Seramai kira-kira 250 penduduk Kampung Bijuray Mongag, Bau, Sarawak menerima manfaat perkhidmatan kesihatan dan bantuan kebajikan menerusi Program Konsortium Hospital Pengajar Universiti Awam Malaysia (KHUAM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin MADANI 2026 yang menghimpunkan 130 pakar perubatan dan sukarelawan daripada 10 Hospital Pengajar Universiti (HPU) seluruh negara pada 12 September lalu.

Program jangkauan komuniti tersebut bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang inklusif bagi masyarakat luar bandar menerusi penyediaan saringan kesihatan, perundingan pakar, imbasan ultrabunyi, rehabilitasi dan bekalan ubat-ubatan secara percuma.
Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Turut hadir ialah Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Ghani @ Ab Ghani serta Ketua Delegasi HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria.

Selain perkhidmatan kesihatan, pasukan perubatan turut melaksanakan ziarah dari rumah ke rumah bagi menyantuni pesakit terlantar. Sebanyak 159 bakul makanan dan kit kebersihan turut diagihkan bersama peralatan bantuan seperti kerusi roda, tongkat dan cermin mata.
Penglibatan HPUSM pula memberi tumpuan kepada kepakaran Pasukan Penjagaan Luka dari Unit Terapi Enterostomal (UTE) yang bukan sahaja memberikan rawatan kepada komuniti, malah berkongsi pengetahuan berkaitan penjagaan luka, termasuk teknik pencucian luka yang betul bagi membantu mengurangkan risiko jangkitan.

Pendekatan tersebut membolehkan komuniti bukan sahaja menerima rawatan, malah memperoleh pengetahuan praktikal yang boleh diaplikasikan dalam penjagaan kesihatan harian, khususnya bagi pesakit yang memerlukan penjagaan luka berterusan.

Selain aktiviti klinikal, program berkenaan turut menjadi platform kepada penganjuran Mesyuarat Teras 3 KHUAM yang menghimpunkan wakil-wakil HPU bagi membincangkan hala tuju dan bentuk sokongan perubatan yang boleh dilaksanakan secara bersama untuk membantu golongan sasar.

Program KHUAM KPT Prihatin MADANI 2026 mencerminkan usaha HPU dalam memperluas perkhidmatan kepakaran perubatan kepada komuniti luar bandar melalui pendekatan yang menggabungkan rawatan klinikal, bantuan kebajikan, pemindahan ilmu dan khidmat turun padang.
Sumber Laporan & Foto: Noor Baizura Ab Ghani
- Created on .
- Hits: 74