27 PELAJAR ASNAF CEMERLANG TERIMA SUMBANGAN PERANTI DIGITAL MELALUI DANA ZAWAIN USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Jun 2026 – Para pelajar asnaf perlu terus diberi perhatian dan dibantu bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih sempurna tanpa dibebani kekangan kewangan.

Atas dasar keprihatinan terhadap golongan itu, seramai 27 mahasiswa asnaf cemerlang dari tiga (3) pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) menerima sumbangan peranti pembelajaran digital (komputer riba) jenama ASUS, menerusi satu inisiatif kebajikan yang bertujuan membantu mereka meneruskan pengajian dengan lebih cemerlang.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Dewan Persidangan Kampus, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Sumbangan tersebut disalurkan oleh Haji Hassan Hussain menerusi dana yang diuruskan oleh Pejabat Zakat, Wakaf dan Infaq (ZAWAIN) USM itu merupakan antara usaha berterusan universiti dalam membantu pelajar yang memerlukan, khususnya golongan asnaf agar mereka dapat mengikuti perkembangan pembelajaran dan memenuhi keperluan semasa dengan lebih baik.

Komputer riba yang disumbangkan diharap dapat membantu para pelajar meningkatkan prestasi akademik, memudahkan akses kepada sumber pembelajaran serta memperkukuh penglibatan mereka dalam aktiviti penyelidikan sepanjang tempoh pengajian.
Sumbangan berkenaan turut memperlihatkan kerjasama erat antara pihak universiti, pusat pengajian dan penyumbang dalam memperkasakan agenda kebajikan pelajar serta melahirkan graduan yang berdaya saing, berpengetahuan dan cemerlang pada masa hadapan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad mewakili Dekan PPSP; Pengerusi Program Kejururawatan PPSK, Dr. Intan Idiana Hassan mewakili Dekan PPSK dan Ketua Pentadbiran ZAWAIN Kampus Kesihatan USM, Asheef Barkhia Yahya.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 237