Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

3 PROJEK RMK13 FOKUS LAWATAN TKSU KPT KE HPUSM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Januari 2025 - Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan semalam mengadakan lawatan pemantauan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bagi meninjau tahap kemajuan pelaksanaan projek pembangunan dan perolehan universiti di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

1000217920

1000217916

Lawatan tersebut melibatkan peninjauan ke atas tiga (3) projek RMK13 iaitu naiktaraf kemudahan dapur kulinari berpusat, pembangunan ‘Advance Surgical Block’ (ASB) serta perolehan peralatan ‘Brainsuite ICT’ bersama teknologi ‘integrated robotic smart suite’ dengan ‘digital OT’.

Sepanjang lawatan, Mohd Nor Azman diberikan taklimat berhubung status semasa projek, skop kerja, perolehan selain perancangan pelaksanaan bagi memastikan semua inisiatif dilaksanakan mengikut jadual serta mematuhi keperluan tadbir urus dan peraturan kewangan kerajaan.

1000217922

Naiktaraf kemudahan dapur kulinari berpusat bertujuan meningkatkan kecekapan dan kualiti penyediaan makanan pesakit serta operasi sokongan hospital secara lebih sistematik dan mematuhi piawaian semasa, di samping berfungsi sebagai platform latihan praktikal kepada pelajar dalam bidang kulinari.

Sementara itu, pembangunan ‘Advance Surgical Block’ (ASB) pula dijangka memperkukuh kapasiti perkhidmatan pembedahan khusus dan subkepakaran selaras dengan peranan HPUSM sebagai hospital pakar dan Hospital Pengajar Universiti (HPU).

1000217918

Perolehan peralatan ‘Brainsuite ICT’ bersama teknologi ‘integrated robotic smart suite’ dengan ‘digital OT’ pula akan menyokong pelaksanaan pembedahan berketepatan tinggi melalui integrasi sistem digital, automasi dan teknologi robotik pintar, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pesakit, kecekapan klinikal serta kualiti perkhidmatan rawatan. Di samping itu, ia juga bertujuan memperkukuh perkhidmatan kepakaran dan melahirkan pakar-pakar khusus menerusi penggunaan teknologi terkini.

1000217914

Lawatan pemantauan ini bertujuan memastikan pelaksanaan projek RMK13 di HPUSM berjalan selari dengan objektif yang ditetapkan serta memberi impak langsung kepada pengukuhan infrastruktur pendidikan tinggi dan perkhidmatan kesihatan negara.

Usaha ini turut mencerminkan komitmen berterusan KPT dan USM dalam merealisasikan projek pembangunan berimpak tinggi demi manfaat universiti, komuniti dan negara.

Teks: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin / Foto: Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am HPUSM

  • Created on .
  • Hits: 148