800 PEK BUBUR LAMBUK DIEDAR, USM SEMARAK RAMADAN DENGAN INISIATIF KEBAJIKAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Februari 2026 – Program Bubur Lambuk Perdana Murni Nurani 2026 berjaya dilaksanakan di Masjid Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai inisiatif kebajikan sempena bulan Ramadan.


Program anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani (MPDMN) dengan kerjasama Sekretariat Rakan Masjid ini bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan dan amalan bersedekah dalam kalangan mahasiswa serta menyantuni komuniti hospital, khususnya keluarga pesakit.




Program bermula seawal jam 7.30 pagi dengan aktiviti memasak bubur lambuk secara gotong-royong yang melibatkan seramai 43 ahli jawatankuasa dan sukarelawan. Proses pembungkusan dilaksanakan sekitar jam 12.00 tengah hari dan secara keseluruhannya sebanyak 800 pek bubur lambuk berjaya disediakan untuk diagihkan kepada para penerima di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti.



Daripada jumlah tersebut, sebanyak 200 pek diagihkan di Masjid Kampus Kesihatan, 100 pek di Desasiswa Murni Nurani, 20 pek kepada Jabatan Keselamatan, 30 pek di Rumah Ronald McDonald, manakala selebihnya diedarkan di kawasan Hospital Pakar USM (HPUSM).



Sesi pengagihan bermula pada jam 5.00 petang di dua (2) lokasi utama iaitu Masjid Kampus Kesihatan dan kawasan HPUSM, dengan tumpuan diberikan kepada keluarga pesakit di Jabatan Kecemasan serta wad-wad yang tidak berkesempatan menyediakan juadah berbuka puasa.


Turut turun padang mengagihkan bubur lambuk kepada peneman pesakit Wad Eksekutif USAINS, Wad 1 Selatan dan Wad 2 Selatan ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail dan Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani. Hadir sama ialah Penolong Pendaftar Kanan, Menjalankan Tugas Ketua Jabatan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Kampus Kesihatan, Khairul Ithma Mahdi serta Pengarah Program, Muhammad Hakim Ridha.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman & Nurul Ibtisham Amram
- Created on .
- Hits: 275