AnNaHL USM JADI PENANDA ARAS MODEL PEMBANGUNAN KOMUNITI BERASASKAN PENYELIDIKAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Julai 2026 – Kilang Pemprosesan Madu Kelulut ‘Advanced National Honey Landmark’ (AnNaHL), Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi penanda aras model pembangunan komuniti berasaskan penyelidikan apabila menerima kunjungan Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Pengerusi 'Upper Rajang Development Agency' (URDA), Dato' Seri Alexander Nanta Linggi bersama delegasi 'Regional Corridor Development Authority' (RECODA) dan URDA, hari ini.

Lawatan yang turut disertai Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Kapit serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Sarawak itu bertujuan meninjau amalan terbaik USM dalam pelaksanaan inovasi sosial, pemindahan ilmu dan pembangunan komuniti berasaskan penyelidikan yang berjaya meningkatkan sosioekonomi masyarakat.

Pemilihan AnNaHL sebagai lokasi lawatan mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan USM dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada pembangunan komuniti melalui inovasi sosial, pemindahan teknologi dan keusahawanan yang memberi impak ekonomi serta sosial secara mampan.



Melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM telah menerajui 19 projek pembangunan komuniti berimpak tinggi bernilai lebih RM60 juta yang merangkumi pembangunan industri madu kelulut, pengkomersialan gula apong, pembangunan kopi premium Ba' Kelalan, akuakultur, pertanian pintar, perusahaan makanan komuniti serta pelbagai inisiatif pemerkasaan usahawan yang berjaya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat luar bandar.



Delegasi lawatan turut diberi taklimat mengenai pendekatan 'research to community impact' yang menjadi teras pembangunan komuniti USM sebelum dibawa melawat kemudahan penyelidikan, makmal inovasi dan pusat pembangunan teknologi di AnNaHL yang menyokong penghasilan teknologi, inovasi produk serta pengkomersialan hasil penyelidikan.


Lawatan ini turut menjadi platform perkongsian kepakaran USM sebagai rujukan dalam pembangunan 'Upper Rajang Honey Processing & Marketing Centre' (URHC) yang sedang dibangunkan di Kampung Kebiau, Song, Sarawak. Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh pembangunan industri madu kelulut serta memperluas pelaksanaan inisiatif pembangunan komuniti berasaskan penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.

Lawatan penanda aras ini sekali gus mengukuhkan peranan USM sebagai rakan strategik negara dalam menerajui pembangunan komuniti berasaskan penyelidikan dan inovasi yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri, Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Anak Unyat; Ahli Dewan Negara, Senator Tuan Michael Mujah Lihan; Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Kennedy Chukpai Ugon; Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh, Nicholas Kudi Jantai; Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Haji Ismawi Haji Ismuni; Residen Bahagian Kapit, Elvis Anak Didit; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) USM, Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran dan Pengarah Kanan Perkhidmatan Perniagaan dan Keusahawanan, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Mohd Najib Jaafar.
Teks: Siti Sri Mas Ismail/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 328