Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

ATAP-NEPAH 2.0 DIDIK REMAJA TANGANI TINGKAH LAKU BERISIKO

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Oktober 2025 - Remaja merupakan aset penting negara, bakal pemimpin dan pewaris masa hadapan. Namun, fasa remaja juga adalah fasa yang mencabar, penuh dengan perubahan emosi, sosial dan persekitaran yang boleh memberi pengaruh sama ada positif atau negatif.

1000187844

1000187846

Sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan memupuk tabiat sihat serta mengelakkan tingkah laku berisiko dalam kalangan remaja di Kelantan, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil insiatif menganjurkan Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani - Remaja Sihat: ‘Adolescent-To-Adolescent Transformation Program-Nurturing, Enhancing And Promoting Adolescents Healthy Habits’ (ATAP-NEPAH) 2.0 pada 11 Oktober lalu.

1000187848

1000187850

Program yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, MPKB-BRI, Kota Bharu dan disertai kira-kira 400 remaja itu juga bertujuan memperkasakan pelajar perubatan USM dalam melaksanakan pemindahan ilmu yang interaktif kepada remaja sekolah di samping melakukan pengesanan awal terhadap tingkah laku berisiko tinggi dalam kalangan pelajar yang boleh dirujuk terus kepada pakar di Hospital Pakar USM (HPUSM).

1000187852

Selain itu, pemindahan ilmu dengan kaedah yang interaktif, menggunakan modul-modul yang disusun oleh pakar perubatan keluarga, psikiatri, psikologi dan kesihatan awam bersama 35 orang pelajar perubatan (Medical student Fasilitator Team, MedSoc) dan merangkumi aspek kesihatan seksual dan reproduktif, penyalahgunaan bahan, pencegahan rokok dan ‘vape’ serta kesihatan mental dilihat amat bertepatan dengan keperluan semasa.

1000187856

Program ATAP-NEPAH 2.0 merupakan kesinambungan Program ATAP-NEPAH yang dimulakan sejak tahun 2014 oleh kumpulan pensyarah PPSP USM dengan pelbagai disiplin kepakaran. Ianya terhenti sejak pandemik COVID-19 dan dimulakan semula melalui geran Projek ‘Mobile Community Services KPT HPUSM pada Mei 2024. Program ini dimulakan kepada pelajar tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 2, Kota Bharu di mana seramai 32 orang pelajar telah dipilih dan dilatih oleh pelajar perubatan USM untuk menjadi ‘peer educator’. Pelajar yang dipilih ini kemudiannya akan melakukan pemindahan ilmu kepada pelajar tingkatan 1 yang lain di sekolah mereka dan pelajar sekolah lain yang berdekatan di daerah Kota Bharu.

Antara aktiviti lain yang dijalankan sepanjang program berlangsung ialah pertandingan GEN Sihat ‘Explorace’, sembang santai, kuiz kesihatan dan pameran daripada pelbagai agensi berkaitan kesihatan remaja.

1000187854

Program ini juga membuktikan komitmen USM terhadap kesejahteraan komuniti khususnya kepada golongan remaja selain menonjolkan kepakaran dan perkhidmatan yang disediakan oleh HPUSM dan PPSP USM di samping mewujudkan peluang kolaborasi antara institusi akademik, industri dan komuniti.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Nur Suhaila Idris

 

  • Created on .
  • Hits: 390