BAKTI SISWA 2.0: USM DEKATI KOMUNITI ORANG ASLI KAMPUNG SUNGAI RUAL
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani (MPDMN) Kampus Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Yayasan Perkasa Siswa (YPS) serta pelbagai agensi melaksanakan program khidmat komuniti Bakti Siswa 2.0 di Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Rual pada 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Program yang melibatkan 60 mahasiswa dan 52 staf USM itu bertujuan merapatkan hubungan antara warga universiti dengan komuniti Orang Asli menerusi aktiviti kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kesukarelawanan.

Menerusi modul Ziarah Kasih MADANI, peserta menyantuni 89 keluarga Orang Asli dengan mengagihkan bakul makanan dan pakaian terpakai, selain melaksanakan aktiviti gotong-royong bagi menaik taraf prasarana surau kampung melalui sumbangan tikar getah dan kelengkapan ibadah.

Program tersebut turut menganjurkan Karnival Kesihatan yang menyediakan 14 reruai saringan dan pameran berkaitan kesihatan, termasuk pemeriksaan kesihatan asas dan saringan kanser payudara, pameran tuberkulosis (tibi) serta ceramah kesihatan mental.

Selain itu, Sukan Rakyat turut diadakan sebagai platform interaksi antara mahasiswa dan staf USM dengan penduduk kampung, sekali gus mengeratkan hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat.

Penganjuran Bakti Siswa 2.0 memberi peluang kepada komuniti Orang Asli mendapatkan pendedahan berkaitan penjagaan kesihatan fizikal dan mental, selain menerima manfaat melalui aktiviti kebajikan dan penambahbaikan kemudahan komuniti.
Bagi mahasiswa, penglibatan dalam program tersebut memberi pengalaman berinteraksi secara langsung dengan komuniti, di samping memupuk nilai empati, kesukarelawanan dan kepimpinan menerusi pendekatan silang budaya.

Kolaborasi melibatkan pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ), persatuan pelajar USM dan agensi kerajaan ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas khidmat komuniti serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Sumber Laporan & Foto: Fadhzli Wahab
- Created on .
- Hits: 96