Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BANK TISU USM KONGSI KEPAKARAN PERBANKAN TISU DENGAN PAKAR PERUBATAN TANZANIA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Oktober 2026 – Bank Tisu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), terus memperluas perkongsian kepakaran antarabangsa dalam bidang perbankan tisu menerusi penganjuran program latihan intensif kepada tiga (3) pakar perubatan dari Tanzania pada 11 hingga 13 Oktober lalu.

Program yang melibatkan pakar perubatan dari Muhimbili Orthopaedic Institute, Ministry of Health, United Republic of Tanzania, itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam pemprosesan cantuman tisu, pengurusan kualiti, kebolehkesanan serta keselamatan tisu untuk kegunaan klinikal.

Sepanjang latihan, peserta mengikuti ceramah pakar, perbincangan interaktif, demonstrasi teknikal dan latihan amali yang merangkumi aspek etika, keperluan kawal selia, pengurusan fasiliti serta teknik pemprosesan tisu dalam persekitaran bilik bersih terkawal.

Latihan amali turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai pemprosesan tulang beku dalam penyediaan tulang kering beku dan pembungkusan alograf dengan penekanan terhadap aspek kesterilan, integriti tisu dan keselamatan produk.

Tiga (3) pakar perubatan yang menyertai program tersebut ialah Pakar Perunding Anestesiologi yang juga Pengarah Eksekutif Hospital, Dr. Mpoki Mwasumbi Ulisubisya; Pakar Perunding Ortopedik dan Tulang Belakang yang juga Ketua Jabatan Ortopedik dan Trauma, Dr. Anthony Benedict Assey dan Pakar Perunding Ortopedik dan Artroplasti, Dr. Violet Nginila Lupondo.

Sejak 2012, Bank Tisu USM telah menerima peserta antarabangsa dari pelbagai negara untuk mengikuti latihan khusus dalam bidang berkenaan, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pusat rujukan pendidikan dan kepakaran teknikal perbankan tisu.

Program ini turut menyokong aspirasi Tanzania untuk menubuhkan bank tulang pertama negara itu bagi memperluas akses kepada alograf dalam rawatan ortopedik kompleks, termasuk rekonstruksi tumor dan pembedahan artroplasti revisi/ulangan.

Inisiatif ini diharap dapat menjadi asas kepada kerjasama berterusan antara Malaysia dengan Tanzania dalam pembangunan kapasiti perbankan tisu yang selamat, berkualiti dan mampan demi meningkatkan mutu rawatan serta manfaat kepada pesakit.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Muhamad Syahrul Fitri Zawawi

  • Created on .
  • Hits: 38