Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BANK TISU USM TERIMA KULIT PENDERMA PERTAMA, CIPTA SEJARAH BAHARU RAWATAN PESAKIT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Mei 2026 – Bank Tisu Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat satu lagi pencapaian penting apabila buat julung kalinya menerima kulit awetan gliserol daripada penderma organ pada 29 April lalu.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 2.35.01 PM 2

Perolehan tersebut bermula hasil koordinasi bersama Pusat Sumber Transplan Nasional berhubung seorang penderma organ di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), sekali gus memerlukan bimbingan pakar bedah plastik dan rekonstruktif Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar dalam proses pengambilan kulit penderma.

Prosedur pengambilan kulit berjaya dilaksanakan pada 26 April mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan sebelum melalui proses gliserolisasi bagi memastikan pemeliharaan struktur serta keselamatan tisu. Tisu tersebut kemudiannya dipindahkan ke Bank Tisu USM dalam keadaan terkawal untuk menjalani pemeriksaan rapi dan penyimpanan khas.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 2.35.01 PM 1

Sebanyak 17 botol kulit berjaya diperoleh dan kini menjalani proses kuarantin serta ujian mikrobiologi sebelum boleh digunakan dalam rawatan pesakit, khususnya bagi kes melecur teruk, luka kronik serta penyediaan dasar luka.

Penubuhan Bank Tisu USM sejak awal 1990-an telah meletakkan institusi ini sebagai perintis dalam perbankan tisu di Malaysia, selain berperanan sebagai pusat rujukan nasional dalam perolehan, pemprosesan, aplikasi klinikal serta penyelidikan perubatan regeneratif.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 2.35.01 PM

Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan teknikal dan kesiapsiagaan Bank Tisu USM sebagai pusat rujukan nasional, malah menyerlahkan kepentingan kolaborasi antara institusi dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan negara.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 2.35.01 PM 3

Lebih bermakna, sumbangan penderma organ ini menjadi simbol keprihatinan dan harapan baharu apabila setiap keping tisu yang didermakan berpotensi memberi manfaat besar kepada pesakit yang memerlukan.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar

  • Created on .
  • Hits: 80