BELIA MENENTANG KANSER: USAHA HPUSM TINGKAT KESEDARAN TANDA-TANDA AWAL KANSER
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Oktober 2025 – Sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang tanda-tanda awal dan faktor risiko kanser, Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengambil inisiatif menganjurkan Program Belia Menentang Kanser di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, pada 2 Oktober 2025 lalu.

Program yang merupakan inisiatif berimpak tinggi ini memberi fokus kepada kesedaran kepentingan pengesanan peringkat awal kanser dan pengurangan faktor risiko kanser yang memfokuskan tabiat merokok, ‘e-cigarette’ dan seks bebas.

Selain itu, program ini juga bertujuan memberi pendidikan kesihatan melalui ceramah, kuiz, ‘treasure hunt’ dan pameran kesihatan serta menjalankan kaji selidik mengenai tahap pengetahuan, sikap dan tingkah laku terhadap amalan merokok dan pornografi bagi menangani isu gejala sosial dalam kalangan belia yang makin membimbangkan.

Mengikut Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan 2022, jumlah kes merokok dalam kalangan remaja menurun, namun kes ‘e-cigarette’ semakin meningkat dari 9.8 peratus (%) pada tahun 2017 kepada 14.9%. Lebih membimbangkan, hubungan seks bebas melibatkan golongan di bawah umur juga semakin berleluasa di Malaysia apabila 154,646 remaja melaporkan pernah melakukan hubungan seks.

Antara aktiviti lain yang turut diselitkan dalam program ini ialah pemeriksaan kesihatan, latihan kendiri pemeriksaan payudara, aktiviti interaktif dan banyak lagi. Program ini juga disertai kira-kira 500 peserta terdiri daripada pelajar, guru, kakitangan MRSM dan ibu bapa selain turut disertai pelajar sekolah berdekatan iaitu Sekolah Menengah Ugama (Arab) Falahiah Sungai Sok dan Maahad Rahmaniah Kuala Krai.

Hadir merasmikan program ini ialah Timbalan Pengarah, Infrastruktur dan Aset HPUSM Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud mewakili Pengarah HPUSM.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Wan Fatihah Wan Sohaimi
- Created on .
- Hits: 120