BENGKEL ‘NEXT-GEN WOUND CARE’: USAHA HPUSM TINGKAT KOMPETENSI DAN AMALAN BERASASKAN BUKTI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 November 2025 – Sebagai usaha meningkatkan kecekapan dan profesionalisme tenaga kesihatan dalam pengurusan luka melalui pendedahan teori dan praktikal terkini, Unit Terapi Enterostomal dengan kerjasama Unit Klinikal, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menganjurkan bengkel ‘Next-Gen Wound Care: Bridging Science and Clinical Practice’ pada 10 November lalu.

Bengkel yang melibatkan 58 peserta terdiri daripada jururawat, pegawai perubatan, ahli terapi dan profesional kesihatan dari pelbagai jabatan ini menawarkan pendedahan komprehensif melalui sesi ceramah, demonstrasi praktikal, perbincangan kes sebenar dan aktiviti interaktif. Antara topik yang dibincangkan termasuk fisiologi penyembuhan luka, peranan nutrisi, pemilihan balutan moden, rawatan luka kronik serta kepentingan pendekatan multidisiplin dalam pengurusan pesakit.


Sesi demonstrasi oleh pakar turut memberikan peluang kepada peserta mempraktikkan teknik penjagaan luka secara ‘hands-on’ bagi meningkatkan keyakinan, ketepatan serta keselamatan ketika melaksanakan prosedur rawatan. Bengkel ini juga berjaya mewujudkan suasana pembelajaran kolaboratif yang seterusnya memperkukuh jaringan profesional ke arah latihan berterusan, penyelidikan dan inovasi dalam bidang penjagaan luka.


Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kemahiran teknikal dan memperkasa profesional kesihatan, seterusnya menyokong aspirasi HPUSM untuk terus tampil sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan dan inovasi kesihatan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria.
Sumber Laporan & Foto: Wan Ahmad Fathi Farhan Che Mohd
- Created on .
- Hits: 150