Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BENGKEL KADAVER USM PERKAYA KEMAHIRAN PEMBEDAHAN KEPALA DAN LEHER

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2026 – Jabatan Otorinolaringologi–Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan USM International Head and Neck Cadaveric Dissection Workshop 2026 pada 21 hingga 22 September lalu di Makmal Pelbagai Guna 2, Kampus Kesihatan USM.

Bersempena ‘World Head and Neck Cancer Day’ 2026, bengkel tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Prince of Songkla University (PSU), Thailand dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai platform latihan lanjutan dalam bidang anatomi dan pembedahan kepala dan leher secara ‘hands-on’.

Bengkel ini melibatkan peserta dari seluruh Malaysia serta penyertaan antarabangsa dari Indonesia yang terdiri daripada pelajar Sarjana Perubatan dan pakar dalam bidang ORL-HNS serta ‘Oral and Maxillofacial Surgery’ (OMFS).

Sepanjang dua (2) hari bengkel, para peserta berpeluang mengikuti sesi ‘cadaveric dissection’ yang merangkumi pelbagai prosedur utama pembedahan kepala dan leher dengan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman dari Malaysia dan Thailand.

Penganjuran bengkel tersebut memberi peluang kepada peserta memperkukuh pengetahuan anatomi dan meningkatkan kemahiran pembedahan melalui latihan praktikal serta perkongsian pengalaman klinikal bersama pakar dalam bidang berkaitan.

Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen USM dalam memperluas pendidikan perubatan berasaskan kompetensi serta jaringan akademik dan profesional di peringkat serantau, khususnya dalam bidang pembedahan kepala dan leher.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Norsyamira Aida Mohamad Umbaik

  • Created on .
  • Hits: 97