BENGKEL KELESTARIAN KAMPUS KESIHATAN TEKANKAN TINDAKAN PROAKTIF PTJ DALAM MENYOKONG AGENDA SDG
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 April 2025 – Bengkel Kelestarian Kampus Kesihatan berjaya diadakan di Min House Camp dengan penyertaan daripada Pegawai-Pegawai Kelestarian yang dilantik di setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Bengkel yang turut dihadiri Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail itu bertujuan mencetuskan idea-idea baharu yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar, meminimumkan pembaziran sumber serta memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Ia juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam memperkukuhkan agenda kelestarian di Kampus Kesihatan. Antara pengisian utama bengkel ini adalah pembentangan oleh Penyelaras Kampus Sejahtera, Dr. Normaliza Abdul Manaf yang memberi penerangan terperinci mengenai skop Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG) dan bagaimana ia boleh diaplikasikan secara praktikal di peringkat PTJ.
Bengkel ini turut diselitkan dengan sesi taklimat Kempen Kesedaran ‘E-Waste’ oleh wakil Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) serta perbincangan kumpulan bagi merancang pelan tindakan kelestarian yang bakal menjadi panduan pelaksanaan di PTJ masing-masing. Bengkel yang pertama kalinya diadakan ini diharap dapat meningkatkan lagi komitmen dan koordinasi antara unit dalam menjayakan usaha kelestarian kampus secara menyeluruh.
Teks & Foto: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin
- Created on .
- Hits: 88