BENGKEL KELESTARIAN USM: FOKUS PENGURANGAN IMPAK ALAM SEKITAR DAN PEMBAZIRAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Februari 2026 – Bengkel Kelestarian edisi ke-2 peringkat Kampus Kesihatan berjaya diadakan di Min House Camp dengan penyertaan daripada Pegawai-Pegawai Kelestarian yang dilantik di setiap pusat tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.


Bengkel yang turut dihadiri Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail itu bertujuan memperkukuh pelaksanaan agenda kelestarian kampus secara mampan melalui perancangan yang lebih menyeluruh, berimpak tinggi dan bersifat jangka panjang.


Ia turut berfungsi sebagai platform strategik bagi menilai, memperkemas dan menambah baik pelan kelestarian sedia ada serta mencetuskan idea baharu ke arah pengurangan impak negatif terhadap alam sekitar dan pembaziran sumber.


Penganjuran bengkel kali ini turut menampilkan perkongsian oleh Penyelaras Kampus Sejahtera USM, Dr. Normaliza Abdul Manaf tentang garis panduan kelestarian, pengumpulan data dan pemarkahan serta maklumat berkaitan kelestarian yang diharap dapat menjadi panduan berkesan dalam pelaksanaan agenda kelestarian di Kampus Kesihatan.


Selain itu, bengkel edisi kali ini juga menyaksikan pelantikan lebih ramai pegawai kelestarian di peringkat PTJ, sekali gus mencerminkan komitmen pihak pengurusan dalam mengarusperdanakan agenda kelestarian di peringkat PTJ masing-masing serta memberi pendedahan kepada pegawai baharu berkaitan hala tuju, inisiatif serta peranan strategik mereka dalam ekosistem kelestarian di Kampus Kesihatan.

Di samping itu, penghargaan turut diberikan kepada PTJ yang berjaya mencapai pengiktirafan Lima (5) Daun dalam Audit Pejabat Hijau pada tahun lalu yang akan menjadi penanda aras kepada PTJ lain dalam memperkukuh budaya kerja Lestari di PTJ masing-masing.
Teks: Faridatul Aswani Ahmad Zidan / Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 144