Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BENGKEL PELAN KONTINGENSI TINGKAT KESIAPSIAGAAN OPERASI MAKMAL HPUSM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Julai 2026 – Bagi mengenal pasti risiko, ancaman dan senario gangguan utama yang boleh menjejaskan operasi setiap makmal, Jawatankuasa Pelan Kontingensi Makmal Perubatan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Penyediaan Dokumen Pelan Kontingensi Makmal Perubatan HPUSM 2026 di Bilik Totorial A, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM pada 8 dan 9 Julai lalu.

Bengkel ini dianjurkan bertujuan menyelaras, menyediakan dan memurnikan dokumen Pelan Kontingensi Makmal secara sistematik dan seragam sebagai usaha memenuhi keperluan standard akreditasi MS ISO 15189:2022, di samping memastikan kesinambungan perkhidmatan diagnostik sekiranya berlaku situasi kecemasan atau gangguan operasi.

Bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator dari Jabatan Kecemasan HPUSM, Dr. Shaharudin Shah Che Hamzah ini memberi peluang untuk beliau berkongsi kepakaran berkaitan pengurusan bencana dan perancangan kesinambungan operasi bagi memperkukuh kefahaman peserta terhadap kepentingan penyediaan pelan kontingensi yang komprehensif.

Seramai 31 peserta mengambil bahagian dalam bengkel tersebut yang melibatkan wakil daripada sembilan (9) Makmal Diagnostik, Pengurusan Tertinggi Makmal serta wakil Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Pusat Transformasi Digital (PTD), Jabatan Bendahari, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP), Jabatan Keselamatan serta Unit Klinikal HPUSM.

Penglibatan pelbagai pihak ini membolehkan setiap pelan tindakan yang dirangka mengambil kira aspek sokongan teknikal, utiliti, logistik dan pengurusan hospital secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan sekiranya berlaku insiden yang menjejaskan operasi makmal.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan kepada konsep pengurusan bencana dan kesinambungan operasi sebelum melaksanakan analisis risiko berdasarkan tahap kemungkinan dan keterukan bagi setiap senario yang dikenal pasti. Peserta turut menyediakan prosedur tindakan mengikut empat (4) fasa utama iaitu tindak balas, pemulihan, mitigasi dan persediaan.

Hari kedua bengkel memberi tumpuan kepada sesi pembentangan, pemurnian dokumen, maklum balas daripada fasilitator serta latihan simulasi meja (table-top exercise) bagi menguji keberkesanan pelan yang dibangunkan dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan.

Hasil utama bengkel ini ialah penghasilan draf lengkap Dokumen Pelan Kontingensi Induk Makmal Perubatan HPUSM (HPUSM/LCD/QP-00) yang merangkumi klasifikasi insiden mengikut Kod Hijau, Kod Jingga dan Kod Merah, selain prosedur operasi standard (SOP) bagi enam (6) senario utama iaitu gangguan banjir yang menyebabkan laluan terputus, kegagalan Sistem Maklumat Makmal (Laboratory Information System - LIS), kontaminasi biologi kulat, banjir dan gangguan bekalan elektrik, kebocoran paip air serta kebakaran besar melibatkan semua blok makmal.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan HPUSM dalam memperkukuh budaya pengurusan risiko dan kesiapsiagaan organisasi, sekali gus memastikan keselamatan pesakit, kebajikan warga kerja serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan diagnostik yang berkualiti dan berdaya tahan.

Sumber Laporan & Foto: Ahmad Zakwan Mustafa

  • Created on .
  • Hits: 104