Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BENGKEL PENGURUSAN PESAKIT KAKI GAJAH: PENDEKATAN MULTIDISIPLIN DALAM RAWATAN LYMPHEDEMA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Julai 2025 – Sebagai langkah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran klinikal dalam pengurusan pesakit lymphedema (kaki gajah) melalui pendekatan multidisiplin yang merangkumi aspek perubatan, pembedahan, rehabilitasi dan psikososial, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Pesakit Kaki Gajah Siri 2, pada 24 dan 25 Jun lalu.

1000153090

1000153094

Kerjasama sulung antara USM dan KKM ini membuka ruang perkongsian ilmu dan usaha bersepadu dalam menangani isu kesihatan berkaitan kaki gajah secara menyeluruh di peringkat nasional.

1000153092

1000153096

Bengkel ini menghimpunkan lebih 100 peserta dari seluruh Malaysia merangkumi pakar-pakar perubatan pelbagai bidang, pegawai perubatan, jururawat, ahli fisioterapi dan pegawai kesihatan awam.

1000153098

1000153100

Antara topik yang dibincangkan dalam bengkel ini ialah eliminasi filariasis, peranan intervensi pembedahan dan bukan pembedahan, teknik diagnostik 'lymphoscintigraphy' pengurusan psikologi dan rehabilitasi pasca pembedahan.

1000153102

1000153104

Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan sesi praktikal iaitu ‘bedside teaching’ bersama pesakit lymphedema, dibawa melawat Jabatan Rehabilitasi dan Perubatan Nuklear serta penerangan dan demonstrasi produk berkaitan rawatan lymphedema seperti ‘pressure garment’, ‘intermittent pneumatic pump’ dan ‘bandaging’.

1000153106

Perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin. Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif, Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, Usains Healthcare Sdn. Bhd. yang juga Pakar Perunding Kanan Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Hospital Pakar USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim; Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr. Zailiza Suli; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor JKNK, Dr. Ahmad Syaraani Yasin dan Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif HPUSM, Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar.

Sumber Laporan dan Foto: Dr. Abdul Majid Muhamad

  • Created on .
  • Hits: 105