BENGKEL REKA ‘TIE & DYE’ USM SOKONG PEMBANGUNAN HOLISTIK MURID AUTISME
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 April 2026 – Sebagai usaha memperkenalkan teknik pewarnaan kreatif kepada murid-murid autisme melalui pendekatan berturutan yang disokong oleh bantuan visual dan fasilitator, Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu dan Persatuan Autisme Kelantan telah menganjurkan Bengkel Reka ‘Tie & Dye’ pada 1 April lalu.

Bengkel ini merupakan lanjutan daripada aktiviti fasa pertama Bengkel ‘Training of Trainers’ (TOT) yang melibatkan pemindahan ilmu daripada artisan ‘Tie & Dye’ kepada guru-guru.

Kemahiran yang diperoleh daripada bengkel TOT diaplikasikan oleh guru dalam pembelajaran bilik darjah bersama pelajar dan Bengkel Reka ‘Tie & Dye’ ini menjadi platform untuk memperlihatkan hasil keberkesanan pendekatan tersebut secara langsung bersama murid.

Sepanjang bengkel ini berlangsung, peserta didedahkan kepada proses yang teratur bermula daripada teknik ikatan sehingga menghasilkan produk akhir seperti ‘t-shirt’ dan beg ‘tote’ kanvas.

Program ini telah dihadiri kira-kira 68 guru-guru, pembantu pengurusan murid serta murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Peringkat Menengah Daerah Kota Bharu, menjadikan suasana bengkel lebih bermakna dengan sokongan komuniti pendidikan yang kukuh. Selain itu, bengkel ini juga diadakan sempena sambutan Hari Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun. Bengkel ini antara lain bertujuan melatih pelajar autisme dalam proses kreatif selain menyumbang kepada pembangunan akademik, sosial dan ekonomi mereka melalui kemahiran yang boleh dikembangkan pada masa hadapan.


Hadir menutup bengkel tersebut ialah Timbalan Dekan Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan, PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud. Turut hadir ialah Ketua Jabatan, Jabatan Patologi, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Faezahtul Arbaeyah Hussain dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pendidikan Khas PPD Kota Bharu, Mohamad Nazmi Abdul Mutalib.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Siti Norasikin Mohd Nafi
- Created on .
- Hits: 97